Jumaat, 17 Januari 2014

Pusat Giat MARA: Adun Taman Templer mual dengan sikap Umno

 


HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR:  Ahli Dewan Negeri (Adun) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib merasa mual dengan sikap pemimpin Umno negeri yang berlakon sebagai jaguh Melayu tetapi membiarkan pusat latihan Giat MARA di Selayang dibina di atas tanah tidak sah status  sejak puluhan tahun dan beroperasi dalam keadaan serba kekurangan.

"Saya minta kepada Umno supaya berhenti hipokrit dalam memperjuangkan bangsa dan agama seperti mana yang mereka laung-laungkan tetapi buktikanlah dengan tindakan walaupun saya memang meragui akan keikhlasan dan keupayaan mereka," tegas beliau selepas mengada lawatan ke Pusat Giat Mara Selayang, pagi tadi.

Zaidy mengulas kecaman pemimpin Umno negeri terhadap kerajaan negeri khususnya Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang didakwa memberi notis arahan penutupan kepada pusat latihan itu.

Menurut beliau, kunjungan anggota Exco Kerajaan Negeri, Ean Yong Hian Wah ke pusat latihan itu tempoh hari  adalah antara siri lawatan kerajaan negeri untuk mengenal pasti tanah-tanah kerajaan yang diduduki secara tidak sah di negeri Selangor termasuklah Pusat Giat Mara Selayang.

Lawatan Zaidy yang juga Yang Dipertua PAS Selayang  ke Pusat Giat Mara Selayang disambut mesra pihak pengurusan dan guru bertugas.

"Difahamkan pusat ini menampung lebih kurang 100 pelajar termasuk yang sedang melakukan latihan industri," ujarnya.

Pusat Giat MARA Selayang melaksanakan dua sesi pengambilan setiap tahun bagi kursus elektrik. Kursus berlangsung selama dua tahun.

Zaidy yang turut dibawa melawat sekitar pusat latihan itu mengakui kemudahan infrastrukturnya perlu dinaik taraf untuk keselesaan pelajar.

Bilik kuliah pusat latihan itu, jelasnya ditempatkan dalam kabin dua tingkat yang serba kekurangan begitu juga keadaan sekitaran yang sangat sempit dan tidak selesa.

"Difahamkan bangunan ini diubah suai dari dewan orang ramai yang terbiar sebelum ini. Pandangan saya sepatutnya pihak kerajaan persekutuan dan Giat MARA perlu lebih perihatin dengan memastikan kebajikan dan keselesaan pelajar agar mampu menimba ilmu dan latihan dengan baik," katanya.

Menurut Zaidy, walaupun kerajaan negeri menyedari Pusat Giat MARA itu beroperasi di atas tanah kerajaan negeri secara tidak sah, ia masih dibenarkan beroperasi dengan syarat kemudahan infrastruktur bangunan dinaik taraf sesuai dengan piawaian sebuah institusi latihan.

Kerajaan negeri juga, tambah beliau turut menawarkan tempat yang lebih sesuai sekiranya Pusat Giat MARA ingin berpindah memandangkan lokasinya kini berada di tengah kawasan perumahan yang sempit.

"Saya selaku Adun Taman Templer akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi memastikan  Pusat Giat MARA  ini dapat dikekalkan untuk kemudahan belia-belia Selayang mendapat latihan teknikal.

"Di masa yang sama, saya mengharapkan Giat MARA  dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menaik taraf Pusat Giat Mara Selayang.  Sekiranya memang kawasan ini tidak sesuai, saya akan membantu untuk mengenal pasti tempat yang lebih sesuai di sekitar Selayang," ujarnya.

Tiada ulasan: