Ahad, 19 Januari 2014

Provokasi 13 Mei: Ahli parlimen buat laporan polis

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari telah membuat laporan polis atas provokasi yang berbahaya oleh pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang yang mengetuai demonstrasi di hadapan Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya semalam.

Menurut mereka, antara provokasi yang dilakukan termasuk membawa sepanduk yang berbaur fitnah dan hasutan seperti “DAP musuh Islam” dan “Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi… Mahu lagi kaa?” serta ucapan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama oleh pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang seperti Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Reezal Merican, Setiausaha Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua dsan bekas Pemuda Umno negeri, Rafizal Rahim serta Sheikh Hussein Mydin.

“Tindak-tanduk mereka merupakan perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab, berunsur hasutan dan bertujuan untuk mencetuskan ketegangan kaum serta huru-hara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum kita.

“Pada masa yang sama, kenyataan-kenyataan mengenai DAP yang tertera dalam sepanduk serta ucapan mereka adalah langsung tidak benar dan merupakan dakwaan yang tidak berasas sama sekali,” ujar mereka dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, provokasi kaum dan agama serta ugutan Mei 13 yang sering digunakan oleh Umno ini adalah gara-gara kegagalan kerajaan Umno Barisan Nasional untuk mentadbir ekonomi sehingga rakyat terpaksa mengikat perut menghadapi kenaikan barangan yang mendadak.

Justeru, ujar mereka taktik kekecohan dan perkauman digunakan untuk mengalih perhatian daripada perkara yang lebih genting seperti hal ehwal ekonomi, kepincangan pentadbiran kerajaan dan gejala rasuah.

“Pun begitu, rakyat pada masa kini tidak mudah diperbodohkan, dan tidak akan termakan dengan sandiwara Umno.
 
“Pada masa yang sama, kami juga menyeru agar Umno jangan bertindak seolah-olah pemimpin mereka adalah maksum dan umpama firaun yang tidak boleh dikritik,” ujar mereka.

Kata mereka, kegagalan Perdana Menteri dalam mentadbir negara dan kenyataan beliau mengenai isu ‘kangkung’ menunjukkan bahawa beliau langsung tidak memahami kesusahan rakyat.

Dalam sebuah demokrasi, kerajaan yang dipilih rakyat harus bersedia untuk menghadapi kritikan rakyat, khususnya apabila ternyata gagal membela rakyat, ujar mereka.

“Oleh itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib serta konco-konconya dalam Umno harus berhadapan dengan realiti dan tidak menyalahkan orang lain serta menggunakan taktik fitnah, hasutan dan ugutan perkauman demi mengalih perhatian daripada kegagalan mereka,” kata mereka.

Tiada ulasan: