Jumaat, 3 Januari 2014

MP: Serbuan JAIS nafikan mesej tahun baru Najib

MALAYSIAKINI

MP Gelang Patah Lim Kit Siang berkata serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke premis Persatuan Bible Malaysia semalam menafikan mesej "damai dan harmoni" dalam ucapan sempena sambutan Krismas dan tahun baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tokoh DAP itu berkata kegagalan Najib menghentikan sebarang serbuan pihak berkuasa Islam ke atas agama lain menjadikan mesej perayaan Krismas dan tahun barunya "hilang makna dan hilang kredibiliti".

Menurut Lim, dalam dua ucapan Najib antara lain menyeru perpaduan Muslim dan Kristian supaya tidak berbalah, mengguris perasaan sesama mereka, memahami sensitiviti dan tidak menjadi perbezaan antara agama sebagai faktor yang melemahkan masyarakat.

"Namun, sentimen ini dipadamkan dengan serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh JAIS ke atas Persatuan Bible Malaysia semalam," kata Lim dalam satu kenyataan.

Tokoh DAP itu mengulas serbuan JAIS terhadap persatuan itu semalam malah membuat rampasan lebih 300 Bible versi bahasa Melayu dan Iban di premis itu semalam malah pegawai jabatan itu didakwa tampil dengan agresif dan cuba membuka pintu pagar premis berkenaan.

Lim turut membidas ucapan Najib yang menyerang ahli politik yang menurut beliau tidak bertanggungjawab dan sia-sia kerana menimbulkan kontroversi demi keuntungan politik tanpa menghiraukan keamanan dan keharmonian.

Bagaimanapun, kata Lim, serbuan tersebut adalah contoh bagi “tindakan tidak bertanggungjawab” dan “sia-sia” yang disebut Najib, maka sebagai seorang perdana menteri beliau perlu bertindak segera.

Sehubungan itu, Lim menggesa Najib merealisasikan janjinya kepada rakyat dengan menghentikan segera sebarang serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh pihak berkuasa Islam ke atas agama lain demi pengukuhan perpaduan di negara ini.

Tiada ulasan: