Sabtu, 25 Januari 2014

Kristian pedalaman Sabah tidak diperdaya masuk Islam, kata jabatan agama

OLEH MUZLIZA MUSTAFA


Penduduk Kampung Layung Maliau yang terletak di Pitas, Sabah ini mendakwa mereka diperdaya pihak tertentu untuk menukar agama kepada Islam. Penduduk Kampung Layung Maliau yang terletak di Pitas, Sabah ini mendakwa mereka diperdaya pihak tertentu untuk menukar agama kepada Islam.



Penduduk tiga buah kampung di Pitas; Kampung Layung Maliau, Dowokon dan Sosop tidak dipaksa untuk memeluk Islam, menurut sumber Jabatan Agama Islam Sabah semalam.

Enggan mendedahkan identitinya, sumber itu memberitahu Jabatan Agama Islam Sabah diminta penduduk kampung berkenaan membantu pihak yang berminat untuk memeluk Islam.

"Pihak itu menyediakan semuanya termasuk penyertaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Pegawai jabatan agama di sana hanya untuk tujuan pendaftaran dan pemelukan Islam," katanya.

Menurut sumber itu, senarai 100 nama penduduk kampung bersama nombor kad pengenalan diserahkan terlebih dahulu kepada pejabat agama di Pitas untuk pemeriksaan.

"Satu majlis kemudiannya diadakan bagi upacara pertukaran agama itu. Memandangkan ia melibatkan jumlah yang besar, kami memutuskan untuk mengadakannya di masjid semasa hari tahun baru," katanya.

Beliau turut menafikan tuduhan penduduk kampung tidak diberitahu tentang pertukaran agama dan tujuan mereka ke sana.

"Semasa penduduk kampung tiba, mereka diberikan taklimat tentang Islam dan sebab dibawa ke sana. Kami turut memberikan ceramah selama satu jam."

Sumber itu berkata daripada 100 yang hadir, hanya 36 bersetuju untuk bertukar agama.
“Jika mereka diperdaya, semuanya akan bertukar,” katanya.

Berhubung wang yang diberikan kepada penduduk kampung bernilai RM100 kepada dewasa dan RM50 kepada kanak-kanak, sumber itu berkata wang diberikan bukan sebagai ganjaran memeluk Islam.

“Wang diberikan atas perjalanan mereka yang jauh dari kawasan pedalaman menghadiri majlis itu. Wang diberikan kepada 100 penduduk kampung yang hadir,” katanya.

Berhubung janji RM800 kepada penduduk kampung, katanya jabatan agama tidak menjanjikan sedemikian.

“Kami tidak berurusan dengan wang. Kami bukan penganjur. Kami ke sana hanya membantu urusan pendaftaran,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelumnya, masalah timbul setelah mualaf itu kembali ke kampung halaman mereka.

“Media melaporkan ia satu helah. Laporan polis sudah dibuat kepada pihak yang membuat dakwaan demikian. Kami tidak akan mencampuri urusan itu,” katanya.

Pada masa ini, pendaftaran 36 mualaf itu sedang diproses.

Pejabat Agama Pitas turut menulis satu surat memberi penjelasan berhubung insiden itu kepada jabatan agama negeri.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku selepas majlis itu atau apa yang telah dijanjikan kepada penduduk kampung. Namun mereka yang menghadiri majlis ke masjid tidak diperangkap. Tiada yang dipaksa atau sebagainya,” katanya.

The Malaysian Insider melaporkan baru-baru ini sekumpulan penduduk kampung diperdaya untuk memeluk Islam.

Mereka mendakwa ada yang memberitahu seseorang dari Kuala Lumpur mahu memberi bantuan kewangan RM800.

Apa yang diperlukan adalah memberikan nama dan nombor MyKad kepada pihak itu.

Mereka kemudian diminta pergi ke pekan pada hari tahun baru untuk menerima bantuan.

Keesokan harinya, 33 penduduk kampung meredah jalan berlumpur menuju ke bandar.

Sesampainya di sana, mereka dikehendaki pergi ke masjid.

Salah seorang daripada mereka mendakwa diminta menandatangani borang dan tiada yang menerangkan kandungan borang itu.

Selepas urusan itu selesai, kumpulan itu diberikan sampul mengandungi RM100 dan RM50.

Sumber Jabatan Agama Islam Sabah mendakwa kejadian kemasukan Islam secara beramai-ramai jarang berlaku dan biasanya ia dilakukan di pejabat agama.

"Tiada masalah pertukaran agama sebelum ini. Ini kali pertama saya mendengar ada yang diperdaya," katanya

Tiada ulasan: