Isnin, 20 Januari 2014

Kenyataan Nancy bukti penguatkuasa agama negeri boleh cabuli Penyelesaian 10 Perkara


teresa kok

KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim mempertikaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri seolah penguatkuasa agama negeri berkuasa mencabuli Penyelesaian 10 Perkara yang diputuskan Kabinet.

Beliau merujuk kenyataan Nancy dua hari lalu bahawa kerajaan negeri tidak tertakluk kepada Penyelesaian 10 Perkara itu.

Nancy turut dilaporkan berkata, penganut Kristian asal Sabah dan Sarawak yang berada di Selangor bebas mengamalkan agama mereka ‘di premis mereka sendiri, serta selagi tidak cuba menarik orang lain menganut agama itu’.

“Adakah Nancy sudah jadi jurucakap kepada Penyelesaian 10 Perkara dan Kabinet memutuskan penyelesaian itu boleh dicabuli penguatkuasa agama negeri?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyelesaian 10 Perkara diumumkan kerajaan pada 2 April 2011 sebagai penyelesaian kepada isu Al-Kitab Bahasa Melayu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seputeh itu turut mengkritik tindakan membisu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi itu, namun cepat melatah dengan isu kangkung yang menyerangnya.

“Sudah 17 hari sejak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mencabuli Penyelesaian itu (dengan menyerbu premis Bible Society of Malaysia), namun beliau masih belum menunjukkan kepimpinannya dan bersuara.

“Namun tiga hari lalu, beliau begitu cepat memberi reaksi terhadap isu kangkung yang kini jadi bahan cemuhan terhadapnya. Ramai yang keliru dengan apa yang menjadi keutamaannya,” katanya lagi.

Katanya lagi, tindakan membisu Najib itu hanya membuatkan hubungan antara agama menjadi semakin tegang, selain menguatkan persepsi bahawa beliau adalah seorang pemimpin lemah yang tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Selepas diserang hebat berhubung kenyataan ‘kangkung’nya, Najib membela dirinya dengan mengatakan beliau menggunakan contoh itu kerana ia sayuran yang popular.

“Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung…Jika saya guna burung puyuh sebagai contoh, hanya segelintir yang memakannya,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: