Kecewa anak OKU terpinggir  
Keadaan Alliy Hafiz dirinya yang terkini.


SHAH ALAM – Ibu kepada seorang kanak-kanak OKU, Widyawati Mohd Nor, 35, kecewa berikutan tidak mendapat kerjasama daripada pihak sekolah dalam membantu anaknya terus mendapat pendidikan.

Widyawati berkata,  anaknya, Alliy Hafiz Kamaron Zaman berusia sembilan tahun  mengalami kecacatan otot dan kakinya yang tidak boleh bergerak dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak bagaimanapun, keadaan otak Alliy Hafiz disahkan normal oleh doktor Pakar Genetik dan Metabolik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, Alliy Hafiz telah melalui pendidikan aliran perdana darjah satu dan dua di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur yang mempunyai kemudahan kepada pelajar pendidikan khas, bagaimanapun kemudahan yang ada tidak mesra OKU.

Lebih malang lagi katanya, Alliy Hafiz diminta mencari sekolah lain sekiranya ingin menyambung pembelajaran darjah tiga pada 2014 berikutan kelas ditempatkan di aras tiga.

“Alliy Hafiz telah melalui pendidikan aliran perdana darjah satu dan dua di sekolah berkenaan yang tidak mesra OKU. Pihak sekolah juga dilihat tidak mengambil inisiatif membantu pelajar seperti anak saya.

“Kelas-kelas untuk darjah satu dan dua ditempatkan di aras satu dan ini menyulitkan Alliy Hafiz untuk ke kelas kerana terpaksa didukung setiap hari. Selain daripada bilik darjah tersebut, Alliy Hafiz juga harus menghadiri kelas di bilik muzik, bilik solat dan bilik tayangan yang juga terletak di aras tiga pada waktu tertentu menurut jadual pembelajaran.

“Baru-baru ini saya difahamkan oleh pihak sekolah tersebut bahawa kelas-kelas untuk murid darjah tiga ditempatkan di aras tiga pada sesi pembelajaran 2014. Saya telah dipanggil oleh Guru Hal Ehwal Pelajar sebelum cuti penggal penghujung tahun 2013 yang menasihatkan supaya Alliy Hafiz berpindah ke sekolah lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai seorang ibu katanya, dia tertekan dengan tindakan pihak sekolah berkenaan dan sehingga kini masih belum mendapat keputusan permohonan anaknya untuk belajar di sekolah lain.

Jelasnya, maklum balas terkini yang diterima pada 7 Januari lalu daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan menasihatkannya menunggu sehingga 21 Januari ini bagi menunggu semakan kekosongan di tempat lain.

“Saya berharap, ia dapat diselesaikan dengan segera kerana anak saya saban hari bertanyakan bila dia boleh pergi ke sekolah dan sebagai seorang ibu, saya perlu memperjuangkannya.

“Anak saya minat belajar, janganlah kerana kekurangannya, haknya untuk menuntut ilmu diketepikan,” katanya.