Khamis, 16 Januari 2014

Kalimah ‘Allah’ turut dipakai penganut Sikh, Najib Razak jangan terus berdiam



karpal  sons_6278 (1)




KUALA LUMPUR- Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini menyangkal kenyataan Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ juga terpakai kepada penganut Sikh di negeri itu.

Beliau merujuk laporan kenyataan Sallehen 13 Januari lalu, menegaskan bahawa Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Pengembangan di kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ terpakai kepada semua, bukan hanya penganut Kristian.

Dalam satu kenyataan, Karpal berkata, kenyataan tersebut memberi kesan yang sangat besar kepada penganut Sikh.

Beliau sebelum ini menyatakan, penganut Sikh sudah menggunakan kalimah ‘Allah’ sejak sekian lama, malah ia muncul sebanyak 37 kali dalam kitab suci agama itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa kalimah itu eksklusif untuk orang Islam telah disalah anggap.

“Sama seperti Pulau Pinang, keabsahan larangan itu terbuka untuk dicabar di mahkamah, memandangkan kebebasan beragama kepada semua warga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah Artikel 3(1), 11(1) dan 12(3).

“Artikel 4(1) juga mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan undang-undang paling tinggi negara ini, dan apa sahaja undang-undang yang bertentangan dengannya, namun diluluskan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri selepas merdeka adalah tidak sah,” kata peguam terkemuka itu lagi.

Justeru, beliau menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri untuk tampil menjernihkan suasana, agar penganut Sikh di Malaysia tidak dinafikan hak mereka untuk mengamalkan agama dengan aman dan selesa.

Walaupun diminta pelbagai pihak, Najib setakat ini masih gagal menyatakan pendiriannya berhubung isu ini. -Roketkini.com

Tiada ulasan: