KUALA LUMPUR: DAP menggesa satu sidang Parlimen tergempar diadakan dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina beberapa hari lagi bagi menangani percubaan pihak tidak bertanggungjawab mencetuskan ketegangan kaum dan agama, seperti tragedi 13 Mei, 45 tahun lalu.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, keadaan itu jelas terlihat melalui insiden yang menyentuh sensitivi kaum dan agama yang semakin menjadi-jadi.
Beliau merujuk peristiwa melempar dua bom ‘molotov cocktail’ ke kawasan Gereja Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang awal pagi semalam, dan tindakan menaikkan pemidang ‘Jesus is the son of Allah’ di luar tiga gereja di Pulau Pinang tanpa pengetahuan pihak gereja, kelmarin.
“Ia adalah bukti wujudnya konspirasi jahat oleh sekelompok kecil pengkhianat yang cuba menggoncang kestabilan negara dan (mencetuskan) kekacauan kaum atau agama…bagi mencetuskan satu lagi kejadian 13 Mei,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, sidang tergempar pada tempoh perayaan itu tidak mustahil diadakan, kerana bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pernah membubarkan parlimen pada waktu sama.
“Jika Parlimen boleh dibubarkan pada tempoh itu, maka tiada sebab sidang tergempar tidak boleh diadakan memandangkan terdapat banyak isu nasional yang perlu ditangani segera,” tegasnya.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat sudah menghulurkan tangan kepada Barisan Nasional, bagi bersama-sama menangani cubaan melaga-lagakan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyelar Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berdiam diri membiarkan beberapa pihak secara tersusun menghasut kebencian kaum dan agama.
“Apakah KPN lalai sama sekali dalam menjalankan tugas? Tiba masanya beliau bangun dari tidur dan menjalankan tugas terhadap negara dan rakyat, bagi memelihara mereka daripada pengkhianat yang cuba timbulkan ketegangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan