Ahad, 5 Januari 2014

Hari di mana pegawai agama mengawal agama lain di Malaysia

OLEH JENNIFER GOMEZ

Lee bimbang jika isu kalimah Allah tidak diselesaikan secara tuntas, ia akan memberi kesan jangka panjang yang lebih buruk. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Januari, 2014. 
Lee bimbang jika isu kalimah Allah tidak diselesaikan secara tuntas, ia akan memberi kesan jangka panjang yang lebih buruk. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari


Apakah kaitan seorang Kristian dan peguam selama 33 tahun dengan Islam?

Di kebanyakan negara, ia bukan sesuatu yang menarik tetapi Lee Min Choon mendapati Khamis lalu yang pihak berkuasa agama Islam entah bagaimana telah mencampuri urusan agama lain di Malaysia, walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan kebebasan beragama.

Kisahnya sudah diketahui ramai. Pada hari kejadian, presiden Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) itu, tidak berdaya untuk menghalang 20 pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada menyerbu masuk ke premis mereka untuk mencari Bible yang mengandungi perkataan Allah.

Walaupun mengetahui bahawa Jais tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam, Lee juga tidak mampu mengelakkan diri daripada ditahan dan dibawa ke balai polis seperti penjenayah biasa. Mereka turut merampas 320 Bible berbahasa Melayu dan Iban.

"Sejak mempelajari undang-undang, kami telah diajar bahawa pihak berkuasa Islam hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam.

"Tetapi apabila saya melihat tindakan mereka yang memecah masuk ke premis dan merampas harta kami serta menangkap saya, saya benar-benar terkejut dan terperanjat bahawa sesuatu seperti ini boleh berlaku di Malaysia," katanya kepada The Malaysian Insider.

Di samping menahan Lee dan merampas Bible, pegawai Jais juga menahan pengurus pejabat BSM Sinclair Wong dan di balai polis berhampiran sebelum melepaskan kedua-duanya dengan jaminan polis.

Jais telah mengarahkan Lee hadir di pejabat mereka pada 10 Januari ini.

Dalam drama yang berlaku dalam peristiwa selepas pukul 1 tengahari itu, Lee mengimbas semula tindakan seperti samseng sekumpulan 20 pegawai Jais ketika cuba memasuki pejabat BSM secara paksa dengan menolak dan mengetuk pintu utama mereka, yang ditutup untuk pengiraan stok.

Tanpa banyak pilihan, dia terpaksa membiarkan mereka masuk atas sebab keselamatan.

Lima pegawai Jais dibenarkan masuk, tetapi mereka mula menggeledah dan membuang kotak yang mengandungi Bible tanpa mengambil kira sama sekali bahawa ia adalah kitab suci bagi orang Kristian, kata Lee.

Dalam temubual dengan The Malaysian Insider, Lee yang kelihatan keletihan berkata walaupun tahu haknya sebagai seorang peguam, kemahiran undang-undang dan pengetahuan hilang pada hari kejadian itu.

"Sebagai seorang bapa yang juga seorang peguam, saya telah memberitahu dua anak saya agar percaya kepada sistem dan undang-undang akan melindungi mereka selagi mereka tidak berbuat apa-apa yang salah, tetapi itu semua rupanya tidak benar," tambah lelaki berusia 58 tahun ini.

Tidak berapa lama dahulu, Lee pernah menemui menteri-menteri persekutuan termasuk Datuk Seri Idris Jala dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam isu 10 langkah penyelesaian pada bulan April 2011 .

Hakikatnya Bible berbahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah telah wujud sejak 1612, hampir 400 tahun sebelum beberapa negeri di Malaysia termasuk Selangor, mewujudkan enakmen mengharamkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu termasuk Allah oleh orang bukan Islam.

"10 langkah penyelesaian berkenaan adalah hasil perbincangan pemimpian Kristian termasuk pemimpin kami, Pertubuhan Bible, Idris Jala dan Peguam Negara yang duduk di meja hadapan saya.

"Ia telah dipersetujui bahawa Bible berbahasa Melayu boleh diedarkan tanpa sekatan di Malaysia Timur manakala bagi Malaysia Barat ia mesti mempunyai tanda salib dan perkataan  ‘Penerbitan Kristian’ pada kulit buku, di mana kita telah patuhi semuanya," katanya.

Lee juga berkata bahawa Bible berkenaan juga diimport dari Indonesia,dan melalui pemeriksaan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang sebelum dilepaskan untuk kegunaan BSM.

"Semua ini berlaku secara aman selama dua tahun sehingga hari yang lalu apabila kita diserbu dan dibawa ke balai polis seperti kebanyakan penjenayah," Lee berkata.

Kini, beliau tidak pasti apa yang akan terjadi, dan bimbang akibat  serbuan Jais itu boleh pergi jauh, seperti keputusan Mahkamah Rayuan, 14 Oktober lalu  yang menganggap bahawa kalimah Allah adalah eksklusif untuk orang Islam.

"Anda boleh berada di rumah menghabiskan masa bersama suami anda dan mereka boleh menendang pintu kerana ingin mencari sebuah buku dengan perkataan Allah di dalamnya," katanya.

Pada keputusan mahkamah tersebut, Lee berkata, walaupun menteri-menteri kerajaan mengatakan bahawa keputusan itu hanya terhad kepada akhbar mingguan Katolik Herald dan tidak berkaitan dengan Alkitab, beliau cenderung untuk bersetuju dengan peguam yang mengatakan bahawa keputusan itu mempunyai kesan yang jauh lebih luas.

"Kita lihat apa yang berlaku dengan Jais, yang seolah-olah berfikir bahawa sejak Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kalimah  Allah milik orang Islam sahaja  dan boleh bertindak ke atas mana-mana bukan Islam yang menggunakan perkataan ini kerana menganggap mereka melakukan kesalahan.

"Ternyata jangkaan para peguam adalah betul. Mereka boleh melihat kesan buruk daripada keputusan Mahkamah Rayuan itu," katanya.

Lee berkata bukti selanjutnya kesan buruk daripada keputusan mahkamah adalah serbuan pada BSM dan penangkapan Wong dan dirinya.

"Justeru, melainkan sesuatu dilakukan untuk menangani situasi itu, ia boleh berlaku lagi esok. Jais boleh menendang pintu gereja Ahad ini dan memecah masuk ke dalam rumah untuk mencari Alkitab.

 Dan mereka mempunyai polis untuk menyediakan penjara bagi memenjarakan semua yang ditahan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan pergi ke pejabat Jais pada 10 Januari, Lee lebih senang menyatakan beliau masih belum memikirkannya.

Tetapi beliau pasti bahawa jika tidak hadir, pihak polis akan memburunya.

"Dokumen jaminan polis mengatakan bahawa kita perlu hadir di mahkamah pada 10 Januari tetapi ia tidak menyatakan secara spesifik mahkamah mana.

"Apabila saya bertanya kepada polis, mereka kelihatan tidak tahu dan akhirnya menyuruh saya merujuk kepada Jais," tambah Lee.

Lee juga tidak dapat mengatakan apa langkah yang boleh diambil BSM untuk memastikan tidak kejadian Khamis lalu berulang kembali.

"Apa yang kita boleh lakukan, kita bergantung pada sistem. Mahkamah Rayuan telah memutuskan mengenai kes kalimah Allah ini dan mereka berkata undang-undang negeri memberikan mereka kuasa ke atas orang bukan Islam.

"Bukan Islam tidak terkecuali daripada tindakan Jais. Itulah realitinya," katanya.

Lee bimbang jika perkara itu tidak diselesaikan, BSM juga akan dihalang daripada menjalankan objektifnya untuk membekalkan Bible kerana Jais mungkin memerlukan mereka memberikan butir-butir para individu yang mendapatkan Bible Melayu daripada mereka.

"Siapa yang mahu mendapatkan Bible Melayu daripada kami jika nama mereka akan dimasukkan dalam pangkalan data Jais," tanya beliau.

Tiada ulasan: