HASRAT penulis untuk menebus rebat Touch 'n Go sebelum pemberian rebat 20 peratus itu dikatakan dimansuhkan hari ini, menghasilkan dua penemuan berbeza.
Semalam penulis berhenti di salah sebuah stesen minyak yang menyediakan kaunter Touch 'n Go Spot bagi tujuan itu.
Sesampai di kaunter, penulis menghulurkan kad prabayar sambil ramah bertanya, "hari ini, hari terakhir kan untuk tebus rebat?".
Petugas kaunter itu dengan senyuman berkata,"ramai yang tanya begitu kepada saya hari ini," ujarnya bersahaja.
Melihat tiada orang beratur di belakang, penulis ajukan lagi soalan, "betulkan rebat 20 peratus ni hendak dimansuhkan?," seolah-olah tidak mengetahui walaupun berita itu datangnya dari sumber kami di Sinar Harian.
"Ya betul," jawabnya. "Esok sudah tidak ada rebat," tambahnya lagi.
"Rugilah kalau siapa yang tak rebat, kenapa la agaknya hendak dimansuhkan," ujar penulis dalam intonasi merungut.
Namun petugas kaunter itu dan seorang lagi rakannya tersenyum ke arah penulis dan berkata, "boleh tebus lagi dalam tempoh enam bulan puan".
Lega seketika penulis mendengar maklumat itu. Al-maklumlah, kasihan pada mereka yang tidak berkesempatan untuk menebus rebat pada hari terakhir semalam.
Rebat 20 peratus ini pada hemat penulis banyak mengurangkan beban pengguna lebuh raya.
Penulis sendiri kerap menebus rebat ini sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan bulanan.
Boleh dikatakan rebat 20 peratus yang diperkenalkan sejak 2009 ini banyak membantu penulis sendiri yang menggunakan lebih RM300 tambah nilai setiap bulan untuk ulang alik ke tempat kerja.
Hari ini ketika dalam perjalanan ke pejabat, penulis berhenti untuk mengisi petrol. Kebetulan ada kaunter Touch 'n Go Spot juga di sana.
Penulis sekali lagi meringankan mulut bertanya, bolehkan rebat Touch 'n Go ditebus lagi memandangkan skim itu katanya sudah dimahsuhkan bermula hari ini.
Penulis juga ingin mengesahkan kata-kata petugas kaunter semalam.
Bagaimanapun jawapan petugas kaunter yang ini buat penulis rasa hampa dan tertanya-tanya.
"Saya pun tak tahu, rasanya "burn" kot," ujarnya ringkas.
Sepanjang perjalanan ke pejabat penulis fikirkan, kenapa mereka yang menjaga kaunter Touch 'n Go ini tidak tahu tentang maklumat yang tepat mengenai hal rebat ini?
Kenapa jawapan yang diterima daripada petugas kaunter untuk produk yang sama berbeza?
Jika benar ia dimansuhkan, apa jadi dengan rebat yang terkumpul dan benarkah semalam adalah hari terakhir untuk menebusnya?
Semakan di laman web rasmi Touch 'n Go juga tidak menemukan apa-apa info.
Satu harapan penulis, berilah pengguna maklumat yang tepat dan meyakinkan kerana itu hak kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan