Ahad, 6 Januari 2013

Zamil yakin Anwar hanya jadi Perdana Menteri boneka DAP

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR - Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan dijadikan boneka oleh DAP setelah Ketua Pembangkang itu diangkat sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pemimpin KITA Kedah, Zamil Ibrahim berkata, andaian itu dibuat dengan mengambil kira keengganan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk menarik balik kenyataan yang pernah dibuat pada 15 tahun lalu iaitu beliau mempunyai bukti kukuh Anwar terlibat dalam kegiatan liwat.

Jelas beliau, kenyataan Karpal itu bukan sesuatu yang remeh kerana dakwaan itu dinyatakan di Parlimen dan direkodkan di dalam hansard.

"Dalam konteks ini, di sebalik keengganan Karpal menarik balik kenyataan beliau itu, ada muslihat di atas persetujuan untuk melantik Anwar menjadi Perdana Menteri.

"Ini memandangkan puak-puak DAP boleh menjadikan kes liwat Anwar itu sebagai satu ugutan untuk menghalalkan segala keputusan dan tindakan parti itu jika pakatan pembangkang memerintah negara.

"Keadaan itu sudah boleh dilihat ketika ini iaitu walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerintah Selangor atau Pas memerintah Kedah dan Kelantan, namun kebanyakan keputusan dasar negeri-negeri itu dipengaruhi DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah supaya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertanggungjawab terhadap keengganan Karpal menarik balik kenyataan tersebut.

Menurut Azwanddin, jika Karpal enggan berbuat demikian, maka cadangan Anwar sebagai calon Perdana Menteri adalah satu pembohongan besar daripada DAP.

Dalam pada itu, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, bukti salah laku moral Anwar itu akan dijadikan senjata untuk kepentingan DAP sekali gus mampu menjatuhkan Anwar jika pakatan pembangkang berjaya memerintah.

Kata beliau, pada ketika ini, Anwar hanya menjadi harapan DAP untuk menyatukan ketiga-tiga parti di bawah pakatan pembangkang.

"Sekarang ini memang benar DAP menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, tetapi apabila tiba saatnya nanti, mereka akan menggunakan bukti itu sebagai alasan untuk melantik orang lain memegang jawatan tersebut.

"Ini merupakan strategi DAP kerana mereka yakin akan lebih berkuasa memandangkan banyak kerusi dipertandingkan berbanding PKR dan Pas. Maka mereka berasakan lebih layak untuk melantik mana-mana pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri," katanya.-utusan.com

Tiada ulasan: