Rabu, 16 Januari 2013

Wacana ‘Benarkah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO?’ di Johor

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Portal informasi Bahasa Malaysia Parti Tindakan Demokratik (DAP), Roketkini.com sekali lagi menganjurkan wacana ilmiah; kali ini di Johor Darul Takzim dengan topik hangat, ‘Benarkah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO?’

Siri Wacana Roketkini yang masuk kali kelima ini akan berlangsung di Johor Bahru pada Jumaat 18 Januari 2013, jam 8 malam bertempat di Hotel Good Hope, Skudai.

Ketua Pengarang Roketkini.com, Wan Hamidi Hamid berkata, wacana yang julung kali diadakan di negeri kubu kuat UMNO itu amat sesuai dengan iklim politik yang serba subur pada hari ini.

“Wacana ini merupakan program yang julung kali diadakan di negeri Johor yang sedang pesat membangun bukan sahaja dari segi kemajuan fizikal tetapi juga keterbukaan minda,” ujar beliau dalam kenyataan medianya.

Forum tersebut bakal menampilkan panelis yang terdiri daripada Senator Dr Ariffin Omar, Naib Pengerusi DAP; Sdr Zairil Khir Johari, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Prof Dr Tajudin Omar yang juga Pensyarah UTM.

Ahli akademik dan penulis terkemuka, Dr Mazslee Malik akan bertindak sebagai moderator.

Wacana anjuran DAP Johor itu bakal dirasmikan oleh Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Orang ramai dijemput hadir bagi sama-sama meraikan program ilmu tersebut. Masuk adalah percuma. – Roketkini.com

Tiada ulasan: