Khamis, 24 Januari 2013

Universiti ‘mandul’ lahirkan bebalisme & pandir negara – Dr Maszlee

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Sistem pendidikan negara sekarang melahirkan golongan bebalisme yang akhirnya hanya tahu mengampu kerajaan tetapi gagal menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, kata Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Katanya, golongan berwatak pandir itu terbentuk melalui dua budaya yang subur dalam universiti iaitu naungan (patronage) dan takut (fear).

“Ahli akademi berkepentingan hanya melihat kepada ahli politik untuk mendapatkan pangkat Datuk Seri, profesor dan takut mendapat surat amaran.

“Kedua, budaya takut menyebabkan ahli akademi dan mahasiswa hilang sifat berani, hilang jati diri dan kebolehan berfikir kerana takut dengan pelbagai ancaman dan ugutan.

“Akhirnya, kedua-dua budaya negatif itu membentuk ‘pembonsaian’ (pembantutan) pemikiran warga universiti dan hanya tahu ‘listen’.



“Pembonsaian ini sebenarnya satu bentuk ‘pemerkosaan’ hak berfikir mahasiswa dan ahli akademi.

Mereka akhirnya membebankan negara,” jelasnya pada Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), malam tadi.

Panel lain adalah bekas Pensyarah Undang-undang (UIAM), Prof Dr Aziz Bari dan mahasiswa pencetus fenomena ‘listen’ dari Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani.

Forum itu dipenuhi kira-kira 300 hadirin walaupun tanpa kehadiran Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen, yang menolak jemputan itu sejak awal.

Dr Maszlee berkata, universiti ‘mandul’ melahirkan manusia beraspirasi seperti Syed Hussin al Attas yang mampu memimpin, membimbing dan perjuangkan nasib rakyat.

“Awal 80-an, Syed Muhammad Naquib al-Attas menegur universiti hanya menjadi kilang yang menghasilkan graduan mengikut kehendak pasaran tanpa mengendah kualiti dan kesan terhadap ilmu dan pembangunan masyarakat.



“Hasilnya, masyarakat terus miskin, papa kedana. Yang kaya pula bertambah kaya kerana mendapat projek melalui ketirisan, korupsi dan sebagainya.

“Graduan pula membisu dan terpendam dalam sektor pekerjaan sahaja,” ujarnya.

Maszlee menjelaskan, keadaan universiti yang hilang rohnya sebagai medan ilmu dan graduan dan intelektual tidak lagi berperanan dalam proses pembangunan negara seperti yang ditegaskan oleh pemikir Iran, Ali Syariati bahawa universiti sepatutnya melahirkan rausyanfikir iaitu golongan intelektual yang membawa pencerahan kepada masyarakat.



Pemikir kelahiran Palestin, Edward Said berkata, universiti sepatutnya membentuk intelektual yang gigih mendidik masyarakat dan negara lantas memperjuangkan nasib rakyat dan berani berdiri di hadapan diktator dan penguasa zalim.

“Guru dan sahabat saya, Prof Tariq Ramadhan menegaskan sistem pendidikan terbaik bukan hanya menghasilkan graduan, tetapi menghasilkan individu berani yang perjuangkan hak mereka dalam sistem yang zalim,” katanya.

Tiada ulasan: