MSO
Barang kali tidak ada berita lain paling panas di Kelantan hari
ini dalam padang politik melainkan cerita tunjuk perasaan di lapangan
Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kota Bharu oleh beberapa
orang ahli Umno yang meminta supaya Dali Hussin tidak dipilih menjadi
calon.
Dali ialah bekas ketua pemuda Umno Kelantan dan kini adalah Ketua Bahagian Umno Pengkalan Chepa.
Dengar khabar banyak juga sepanduk dan kain rentang diangkat semasa
tunjuk perasaan berkenaan. Di sebuah kain rentang terpampang tulisan
antara lain menyebut "ketua-ketua cawangan". Bermakna yang tunjuk
perasaan itu terdiri dari ahli Umno sendiri.
Tidak jelas lagi apakah sebab musababnya. Khabarnya tunjuk perasaan itu
mahukan agar Dali tidak dipilih menjadi calon. Satu memorandum juga
hendak diserahkan kepada Pengerusi Umno Kelantan Mustapa Mohamed tetapi
gagal.
Apa yang terdengar Dali dikatakan mengamalkan kronisme di Pengkalan
Chepa. Kronisme apa tidak pula dijelaskan lanjut. Sikap kronisme itu
menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ketua-ketua bahagian.
Menurut maklumat dalam usaha melaporkan perkara itu kepada pihak
tertinggi dalam parti termasuk presiden dan timbalan presiden juga telah
dibuat tetapi tidak ada apa-apa tindakan. Selalu berlaku begitu
(ketidakpedulian) di dalam Umno dimana laporan orang bawahan tidak
dipedulikan yang kemudian menimbulkan masalah.
Contohnya apa yang berlaku dalam Umno Bahagian Tanah Merah. Segelintir
ahli tidak senang dengan politiking ketua bahagiannya, Ikhmal Hisham
yang dikatakan memaslukan keahlian. Ekoran itu laporan dibuat kepada
Pejabat Setiausaha Agung namun ia dibekukan begitu saja. Apa jadi,
akhirnya maslaah keahlian palsu di dalam Umno Kelantan terpaksa diheret
ke mahkamah ekoran itu juga menyebabkan Umno Tanah Merah berkucah.
Tampaknya begitu juga apa yang berlaku di Pengkalan Chepa. Sebelum ini
Umno Pengkalan Chepa adalah bahagian yang agak lantang dan kerap
mencabar Nik Abdul Aziz Nik Mat. Segala tindakan Umno Pengkalan Chepa
seolah-olah menunjukkan ia berada dalam kekompakan. Tetapi dengan apa
yang berlaku hari ini ia memberi gambaran sebaliknya.
Dengan apa yang berlaku di Pengkalan Chepa itu memberi petanda kurang
baik kepada Umno Kelantan. Kalau tunjuk perasaan dan desakan ke atas
Dali itu merupakan protes dalaman, ini bermakna kejadian cas keting dan
sebotaj sesama sendiri tidak dapat dielakkan.
Sebelum ini sudah kedengaran berlaku rasa tidak puas hati di kalangan
ahli dan pimpinan Umno di beberapa buah bahagian berhubung masalah
calon. Perihal calon boleh menang (winnable candidate) ini sudah merebak perlahan-lahan ia membakar seperti api membakar dalam sekam.
Katanya ada pimpinan bahagian yang merasakan mereka lebih layak dan
senior dalam parti kurang senang dengan penampilan beberapa calon boleh
menang. Mereka juga mendakwa sudah bertahun menggerak jentera parti
serta mendekati ahli serta sudah berbelanja ratusan ribu tiba-tiba bila
calon hendak diserahkan kepada orang lain ia kurang disenangi.
Sudah kedengaran desas desus dan cakap-cakap mengatakan sekiranya pihak
atasan tetap mengutamakan calon boleh menang dan mengenepikan calon
pilihan bahagian, calon berkenaan akan disebatoj. Jika ini berlaku ia
boleh merosakan potensi Umno untuk merampas Kelantan dalam pilihan raya
umum akan datang.
Justeru apa yang berlaku bakal memeningkan Mustapa Mohamed sebagai ketua
Umno Kelantan. Di Kelantan dengarnya sekurang-kurang empat atau lima
calon boleh menang akan diletakkan bertanding dalam pilihan raya akan
datang. Idea winnable candidate yang cetuskan Najib Razak ini juga katanya telah mencelarukan keadaan.
Ada pimpimpin yang katanya bersetujuan dengan konsep calon boleh menang
itu tetapi ianya di depan saja tetapi bersedia melakukan sebotaj di
belakang. Insiden yang berlaku di Pengkalan Chepa itu perlu disekat oleh
pihak Umno. Kalau ia tidak disekat, aksi-aksi protes calon itu akan
berjangkit dan merebak ke kawasan lain.
Sudah pasti tunjuk perasaan di airport itu akan menjadi idea kepada
pihak-pihak lain pula yang tidak berpuas hati dengan keputusan atau
pemilihan calon di bahagian masing-masing. Tambahan pula berlaku di
Kelantan di mana orang Kelantan ia unik dan sedia berpatah arang
berkerat rotan dalam apa juga situasi jika mereka kecewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan