Jumaat, 4 Januari 2013

Tahanan mati dalam lokap polis bukan isu remeh, DAP desak kerajaan bertegas

 Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo mahu kerajaan melakukan pindaan undang-undang bagi menjamin keselamatan tahanan berikutan kes penderaan dan kematian dalam lokap yang tiada kesudahan.

“Daripada sudut tanggungjawab sivil, ini bermakna undang-undang itu akan meletakkan tanggungjawab berat ke atas pegawai polis yang melakukan siasatan terhadap apa juga kes ke atas tahanan melainkan jika ada bukti bukti sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, selain bertanggungjawab, kerajaan juga perlu menyiasat mana-mana pegawai yang terbabit dalam jenayah terutama melalui kecederaan atau kematian tertuduh ketika dalam tahanan.

“Undang-undang ini perlu meletakkan beban kehakiman ke atas mereka sehingga mereka dapat membuktikan kecederaan atau kematian bukan disebabkan kelalaian mereka.

“Jika pihak polis diletakkan dengan tanggungjawab lebih berat, mereka akan memastikan tahanan dijaga sebaik mungkin ketika dalam tahanan,” katanya.

Namun tambah Gobind, situasi sekarang menunjukkan kerajaan gagal melakukan usaha untuk menghentikan kematian dalam tahanan.

“Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan dalam menangani masalah serius itu. Ia meliputi pelbagai langkah yang wajar diambil untuk memastikan kemudahan keselamatan terutama menggunakan kamera CCTV,” katanya.

Dalam realiti yang berlaku di Malaysia, beliau berpendapat tidak ada jalan lain melainkan perkara itu diambil tindakan segera dan tegas oleh kerajaan.

“Saya tidak lihat sebarang perubahan sikap ke atas pihak polis untuk menghentikan kejadian tidak diingini termasuk serangan dan kematian yang berlaku dalam tahanan,” katanya.

IPMC boleh bantu tahanan yang teraniaya

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Wong Kah Woh yang juga seorang peguam pula berkata, isu penderaan dan kematian tahanan dalam lokap bukan lagi  perkara asing di Malaysia.

“Kita sering mendengar aduan mangsa atau ahli keluarga tahanan dan berpendapat agar Majistret bukan sahaja mendengar permohonan melanjutkan tempoh tahanan seseorang tetapi perlu mengambil berat terhadap keselamatan tahanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, Malaysia perlukan satu sistem check and balance yang benar-benar berfungsi dan tegas melayani, menyiasat dan bertindak terhadap sebarang insiden buruk yang berlaku terhadap tahanan.

“Jika ada aduan, badan itu boleh dirujuk kepada pengadu. Dulu kita sudah mendengar cadangan daripada Tun Mohamed Dzaidin Abdullah supaya menubuhkan sebuah badan pemantau  Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC), tetapi kerajaan seolah-olah tidak berminat,” kata Kah Woh.

Laporan Hak Asasi Manusia yang dikemukakan SUARAM pada 23 Julai 2009 menyatakan sejumlah 1,535 tahanan lokap mati antara 2003 dan 2007, seramai 255 mati dalam penjara dan 13 lagi mati dalam lokap pada 2008.

Pada Mac 2009, Menteri Dalam Negeri ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong pula menyatakan seramai 2,571 tahanan mati dalam penjara, pusat pemulihan, depot tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) antara 1999 dan 2009.  Daripada jumlah itu, 2,563 tahanan mati ketika rawatan di hospital, 22 mati dalam perjalanan ke hospital dan 13 mati dalam penjara. – Roketkini.com

Tiada ulasan: