Sabtu, 12 Januari 2013

Suaram : Najib Bakal Dipanggil Mahkamah Perancis


Suaram-Scorpene

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal dipanggil bagi memberi keterangan kepada mahkamah Perancis berhubung skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia.

Anggota NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel berkata hakim Roger Le Loire di Tribunal Grande Instance Paris yang mengendalikan kes tersebut telah menyenarai pendek nama saksi yang diberikan oleh Suaram sebelum ini.

Najib merupakan antara nama yang diterima hakim setelah mendengar hujah Suaram dan dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham yang mewakili Suaram pada April tahun lalu.

“Perkembangan terbaru, Perdana Menteri, Najib Razak akan dipanggil dalam masa terdekat, tetapi bila, kita belum tahu lagi, kita tunggu,” kata Cynthia.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 6,000 hadirin dalam Rapat Kemuncak Countdown #KL112 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.

Menurut Cynthia lagi, hakim Perancis itu turut memutuskan agar siasatan dijalankan terhadap kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Altantuya merupakan penterjemah dalam urusan pembelian dua kapal selam berharga RM 4.85 bilion itu.

Harga RM 4.85 bilion itu bagaimanapun melonjak mencecah RM 7.3 bilion apabila Kerajaan Malaysia turut membayar yuran perundingan kepada Perimekar yang dimiliki pembantu Najib, Abdul Razak Baginda.

Kos tambahan itu melibatkan RM 570 juta untuk penyelengaraan, RM 600 juta peluru berpandu, RM1.1 bilion kos penyelarasan dan perkhidmatan bantuan dari DCNS bernilai RM 180 juta.

Pada 2010, Suaram telah memfailkan kes terhadap firma pertahanan Perancis DCNS atas dakwaan membayar komisyen secara tidak sah kepada pegawai tertinggi Malaysia dalam penjualan dua kapal selam Scorpene kepada Kerajaan Malaysia pada 2002.

Tiada ulasan: