Jumaat, 4 Januari 2013

Soi Lek pertikai ketelusan DAP berhubung pemilihan jawatan CEC

SINAR HARIAN

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
 
KUALA LUMPUR - Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mempertikaikan ketelusan DAP yang mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan pemilihan jawatan Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu selepas dua minggu pemilihan berlangsung.

Beliau berkata insiden itu merupakan sesuatu yang pelik kerana kesilapan hanya membabitkan dua pemimpin dan bukan kesemua calon yang terlibat dalam pemilihan berkenaan.

"Apa yang lagi luar biasa ia melibatkan seorang Melayu, dan kerana kesilapan ini, dia (Zairil Khir Johari) dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Pusat DAP.

Adakah ia sengaja dilakukan supaya dapat memenuhi apa yang sering diperkatakan oleh DAP bahawa mereka adalah sebuah parti yang dikatakan pelbagai kaum, dan bukan sebuah parti yang dikatakan berasaskan kaum Tionghua?," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC pada Dis lalu dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20.

Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, telah jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Dalam pada Dr Chua turut mempersoalkan kewibawaan DAP untuk mentadbir negara ini dan mengubah nasib rakyat yang berjumlah 28 juta, memandangkan pemilihan jawatan dalam parti yang hanya membabitkan 1,800 anggota, tidak dapat diuruskan dengan cekap, amanah dan telus.

"Saya rasa kecewa dan terperanjat terhadap apa yang berlaku dalam pemilihan parti DAP dengan slogan yang diutarakan oleh DAP ialah 'Ubah'. Kononnya DAP berwibawa dan mampu membuat perubahan kepada nasib dan membela nasib rakyat Malaysia.

"Tetapi dalam pilihan parti yang melibatkan hanya 1,800 anggota mereka melakukan kesilapan dan perkara ini didapati selepas dua minggu," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: