Jumaat, 4 Januari 2013

Silap kira undi, Pengarah Pemilihan DAP letak jawatan

SITI NADIAH AHMAD ZAMLUS

Silap kira undi, Pengarah Pemilihan DAP letak jawatan
Guan Eng (tengah) bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini. 
 
GEORGETOWN - Pengarah Pemilihan DAP, Pooi Weng Keong meletak jawatan ekoran kesilapan teknikal dalam pengiraan undi pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Kebangsaan bulan lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, peletakan jawatan itu adalah atas dasar rasa tanggungjawab.

Beliau berlaku, berikutan itu, DAP akan melantik firma audit serta syarikat perakaunan bebas untuk mengesahkan semula keputusan pengiraan undi.

Pemilihan diadakan sempena Kongres Kebangsaan DAP pertengahan bulan lalu.

"Saya menerima berita mengenai kesilapan kiraan undi ini kira-kira dua hari selepas kongres dan atas rasa tanggungjawab, kami tetap mengumumkan kembali keputusannya walaupun parti akan mendapat kesan negatif.

"Saya sendiri tidak faham bagaimana ia (pengiraan undi) boleh jadi begitu," kata beliau kepada  media selepas menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), hari ini.

Kesilapan pengiraan undi itu sekali gus menjejaskan kedudukan 20 ahli CEC.

Salah seorang calon Melayu yang bertanding, Zairil Khir Johari yang pada mulanya menerima 305 undi sebenarnya menerima 803 undi hasil kiraan semula.

Ia sekalig us berjaya meletakkan Zairil dalam CEC.

Wu Him Ven yang pada mulanya menerima 1,202 undian sebenarnya hanya menerima 669 undi sekaligus menyebabkannya terkeluar dari barisan CEC.

Zairil dalam laman twitternya menyebut masih lagi terkejut dengan laporan berkenaan.

Tiada ulasan: