KUALA LUMPUR : Pendidikan adalah hak setiap rakyat sama seperti tempat tinggal dan makanan dan saya juga bukan hero yang perlu disanjung tinggi kerana saya percaya ramai lagi pejuang yang melakukan pelbagai usaha, lebih hebat dari saya demi rakyat, ungkap KS Bawani dengan rendah diri.
Bawani yang kini menuntut di tahun kedua jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat atas keberaniannya menyuarakan idea pendidikan percuma dalam satu forum.
Rakaman forum tersebut menyaksikan bagaimana hujah Bawani dimatikan oleh tindakan moderator forum, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang bertindak menarik mikrofon di hadapan Bawani yang sedang menyampaikan hujah-hujahnya.
Susulan insiden itu, beliau kini menjadi sebutan dan diangkat sebagai ikon mahasiswa yang dilihat berani dalam menyuarakan pandangan yang nyata bertentangan dengan polisi kerajaan pemerintah.
“Jangan pandang saya seolah-olah saya di langit kerana saya hanyalah insan kerdil yang hanya bersuara untuk menuntut keadilan buat semua.
“Saya yakin Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma sepertimana yang dlaksanakan negara-negara seperti Cuba, Brazil, Argentina yang mempunyai pendapatan negara kurang daripada Malaysia.
“Pendidikan bukanlah satu bentuk perniagaan, komoditi atau barangan untuk dijual beli, ia adalah hak setiap insan,” tegas Bawani.
Beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menghadiri sidang media anjuran pertubuhan yang dinaunginya sendiri, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi tadi.
Menurutnya lagi, mahasiswa perlu dibebaskan daripada kepompong pemerintah atau kerajaan bagi menjamin hak mahasiswa dalam menyuarakan pandangan serta idea baru demi kemajuan negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.
“Ia perlu dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari kita dan bukan sekadar di atas kertas sahaja.
“Pihak universiti juga perlu neutral dan bebas tanpa diselimuti usaha-usaha ‘brainwash’ pihak tertentu.
“Biarkan mahasiswa sendiri menilai mana baik, mana buruk,” ujar Bawani.
Berusia 28 tahun, Bawani begitu konsisten dalam perjuangannya malah begitu aktif dalam pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak rakyat sejak berusia belasan tahun lagi.
Sejak terlibat dalam NGO seperti Communication Development Center (CDC); iaitu sayap utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada usia 19 tahun lagi, Bawani secara aktif memberi kelas tambahan secara percuma di estet-estet dan kampung-kampung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan