Khamis, 17 Januari 2013

Rakyat Malaysia dipercayai antara dijadikan tebusan di Algeria

Wartawan Sinar Harian

[DIKEMAS KINI] PARIS - Rakyat Malaysia dipercayai antara 41 orang dijadikan tebusan di tapak pengeluaran minyak di Algeria, milik syarikat Britain, BP, semalam.

Turut dijadikan tebusan ialah rakyat Perancis, Britain, Amerika Syarikat dan Jepun.

Pusat itu dilapor menjadi sasaran militan semalam. Dalam serangan itu dua orang termasuk seorang rakyat Perancis terbunuh.

Kesemua pekerja terbabit kini ditahan oleh militan berkenaan di sebuah kubu berdekatan kawasan galian minyak In Amenas.

Kumpulan penyerang terbabit mengugut untuk memusnahkan pusat galian itu sekiranya tentera Algeria yang kini mengepung kawasan berkenaan, melancarkan serangan bagi membebaskan kesemua tebusan.
Militan terbabit berkata mereka memasuki Algeria melalui ruang udara Mali.

Menurut Menteri Dalam Negeri Algeria, Dahou Ould Kablia selain dua yang terbunuh, enam tebusan lain turut cedera membabitkan warga British, Norway dan Scotland serta ejen keselamatan Algeria dan dua anggota polis.

Britain bagaimanapun berkata yang mereka sedang bekerjasama rapat dengan Algeria mengenai krisis yang sedang berlaku ketika ini.

Seorang pekerja di tempat kejadian memberitahu pihak media yang kumpulan bersenjata itu menuntut supaya 100 tawanan Islam di Algeria dibebaskan.

“Penyerang juga menuntut supaya mereka (tawanan) dibawa ke utara Mali,” katanya.

Kumpulan  yang menggelar diri mereka sebagai ‘penandatangan untuk darah’ ini mendakwa tindakan mereka bermotifkan balas dendam kerana Perancis bercampur tangan di Mali.

Menteri Dalam Negeri Algeria juga menegaskan, pihaknya tidak akan berunding dengan pengganas sama sekali.

Kumpulan itu juga seolah-olah mahu meninggalkan negara itu bersama-sama tebusan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri lagi, serangan berlaku di awal pagi waktu tempatan apabila militan menyasarkan bas yang membawa pekerja minyak di lapangan terbang dan mengambil tebusan di pekarangan medan gas.

Seramai 12 pekerja termasuk sembilan warga Norway dikatakan terlibat dalam mengambil tebusan ketika berlakunya serangan.

Tiada ulasan: