Ahad, 27 Januari 2013

Rafizi Kepada Zahid Hamidi: Jumpa Di Mahkamah, Lawan Tetap Lawan!

 
KELAB GREENBOC

Rafizi tidak akan tarik balik kenyataan, lawan saman Zahid

KUALA LUMPUR — Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli tidak akan tarik balik kenyataannya berkenaan Kementerian Pertahanan menggunakan dana awam untuk membeli saham Astacanggih, milik peniaga permaidani Deepak Jaikishan berharga RM30 juta dan membeli tanah Raja Roopiah bernilai RM160 juta di Bukit Raja.

Beliau yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, rakyat Malaysia secara umumnya sudah mengetahui kes ini dan beliau sedia ke mahkamah menghadapi saman dari Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Ya, saya akan hadapi saman tersebut. Saya akan go through dengan lawyer saya mengenai isu ini," kata Rafizi.

Semalam, Ahmad Zahid berkata beliau akan menyaman Rafizi berkenaan tulisannya di dalam blognya, yang didakwa berunsur fitnah, palsu dan tidak benar.

Saman itu dikemukakan berhubung artikel yang mengaitkan beliau dengan seorang ahli perniagaan karpet, Deepak Jaikishan.

Ahmad Zahid selaku plaintif berkata, perkataan tersebut antaranya membawa maksud beliau tidak kompeten, salah guna kuasa sebagai Menteri Pertahanan dan tidak jujur.

Menteri Pertahanan itu antaranya menuntut ganti rugi am dan khas bagi fitnah bertulis, ganti rugi teladan dan melampau serta menarik balik sepenuhnya kata-kata fitnah itu.

Pengarah strategi PKR itu berkata, beliau bersedia untuk ke mahkamah agar semua dokumen yang terlibat dapat disapina di mahkamah.

“Kalau dia saman saya, baguslah, kita boleh sapina semua dokumen nanti.

“Apa yang saya katakan, beliau selaku Menteri Pertahanan harus bertanggungjawab kepada dana awam,” kata Rafizi lagi.

Ahmad Zahid menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teladan, penarikan penuh segala kata-kata fitnah serta meminta maaf dalam format yang diberikan Ahmad Zahid dan diiklankan dalam empat surat khabar tempatan, empat bahasa selama dua hari.

Beliau juga menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel tersebut daripada blog miliknya, perintah larangan daripada mengulangi atau menerbitkan semula termasuk di ceramah, perhimpunan dan kempen pilihan raya.

Turut dituntut ialah faedah empat peratus ke atas jumlah ganti rugi, kos dan relif lain.


Zahid fail saman fitnah terhadap Rafizi


Menteri Pertahanan Datuk Dr Ahmad Zahid mendakwa artikel yang di tulis Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli palsu dan ditulis dengan niat jahat.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli berhubung satu artikel di dalam laman blog.

Dr Ahmad Zahid memfailkan writ saman tersebut menerusi Tetuan Majid Krishna Menon & Lee di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Mengikut pernyataan tuntutan, Dr Ahmad Zahid mendakwa Mohd Rafizi (defendan) menerbitkan artikel fitnah itu di laman blog miliknya iaitu RafiziRamli dotcom.

Dr Ahmad Zahid mendakwa artikel itu adalah tidak benar, palsu dan ditulis dengan niat jahat bagi memberi gambaran negatif berkenaan diri dan pekerjaannya untuk dibaca orang awam.

Katanya Rafizi mengetahui kesan langsung penerbitan artikel tersebut yang membolehkan ia diterbit semula oleh pihak media termasuk media di laman Internet.

Dr Ahmad Zahid turut mendakwa perkataan yang terkandung dalam artikel tersebut membawa maksud bahawa beliau tidak kompeten untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan, menyalah guna kuasa, tidak bertanggungjawap, menyalah guna wang rakyat dan pecah amanah.

Beliau mendakwa tujuan sebenar Rafizi berbuat demikian adalah untuk melupuskan keyakinan orang awam dan gabungan Barian Nasional terhadapnya terutama dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Ahmad Zahid menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teladan, penarikan penuh segala kata-kata fitnah serta meminta maaf dalam format yang diberikan Ahmad Zahid dan diiklankan dalam empat surat khabar tempatan, empat bahasa selama dua hari.

Beliau juga menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel tersebut daripada blog miliknya, perintah larangan daripada mengulangi atau menerbitkan semula termasuk di ceramah, perhimpunan dan kempen pilihan raya.

Turut dituntut ialah faedah empat peratus ke atas jumlah ganti rugi, kos dan relif lain.
-Bernama

Tiada ulasan: