Jumaat, 25 Januari 2013

Prestasi hambar Red Warriors, Kafa ambil tindakan drastik

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD

Annuar Musa
Annuar Musa 
 
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka mengambil tindakan drastik ekoran prestasi hambar The Red Warriors yang hanya mampu meraih enam mata daripada lima perlawanan pada saingan Liga Super musim ini.

Tanpa mendedahkan langkah tersebut, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu bedah siasat sedang dilakukan bagi mengenal pasti kemerosotan mendadak Kelantan sebelum saingan Liga Super bersambung pertengahan Februari depan.

“Terpaksalah berusaha dengan apa yang ada bagi menghadapi musim yang mencabar ini. Kita perlu lakukan sesuatu (memperbaiki prestasi pasukan) meski pun kita tahu ia begitu sukar,” katanya dipetik daripada laman sosial Facebooknya, semalam.

“Insya ALLAH, kita harap jurulatih (Bojan Hodak) dapat menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan ketika saingan liga berhenti berehat. Sebenarnya bukan mudah, kerana kita terpaksa tunggu setahun untuk mendapatkan pengganti baharu (kehilangan tonggak utama musim lalu).

Tempoh rehat selama tiga minggu perlu digunakan sebaiknya oleh pengendali dari Croatia itu bagi memperbaiki kelemahan pasukan terutama ketumpulan jentera serangannya yang hanya mampu menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan lalu.

Juara bertahan Liga Super musim lalu kini menghuni di tangga ketujuh setelah hanya mampu meraih enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan kalah sekali dan dibezakan enam mata dengan pendahulu liga yang diterajui Pahang ketika ini.

Kelantan dan Sime Darby FC bagaimana pun tidak terlibat dalam perlawanan pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA yang bermula hari ini. Kedua-dua pasukan itu mendapat bye setelah muncul juara dan naib juara pada pentas akhir musim lalu.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, semua pemain Kelantan diberi cuti rehat selama tiga hari setelah mengalami keletihan ekoran berdepan jadual perlawanan yang padat sejak tiga minggu lalu.

“Mohd Norfarhan (Muhammad), Mohd Faiz (Subri), Keita Mandjou, Muhammad Izuan (Salahuddin) antara pemain yang cedera. Saya harap mereka dapat pulih sepenuhnya dalam tempoh rehat ini,” katanya.

Tiada ulasan: