Selasa, 15 Januari 2013

PKR dedah pemaju jual rumah pembeli

 
Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri berkata, 97 daripada 340 lot unit kondominium Maskiara kehilangan hak mereka.



PETALING JAYA: Penantian 17 tahun para pembeli kondominium Maskiara di pinggir ibu kota berakhir dengan mimpi ngeri apabila kediaman yang diimpikan oleh mereka gagal disiapkan pemaju.

Lebih mengecewakan 97 daripada 340 lot unit rumah itu yang dimiliki pembeli asal kehilangan hak mereka apabila pemaju lain (atau dikenali pemaju penyelamat) menjual unit tersebut kepada pihak lain.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri berkata seramai 168 pembeli asal telah menandatangani perjanjian jual beli bersama pemaju asal pada 1995.

Projek yang dijangka siap pada 1998 itu bagaimanapun mendapat status ‘projek terbengkalai’ sehingga pemaju penyelamat berkenaan membantu untuk meneruskannya.

“Walaupun ada pemaju penyelamat wujud juga pelbagai helah tetapi 97 orang pembeli kehilangan hak mereka. Ini gara-gara pemaju penyelamat telah menjual lot unit rumah tersebut kepada pihak lain.

“Bayangkan ramai pembeli telah mengeluarkan seluruh wang selepas bersara hanya untuk memiliki kediaman namun lot unit rumah itu rupanya dimiliki orang lain.

“Kekecewaan ini lebih terguris apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sepatutnya membantu mempertahankan hak pembeli mengambil sikap acuh tidak acuh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Bayaran tambahan RM39, 500

Sementara itu wakil pembeli yang ingin dikenali sebagai Mohammad pula berkata, sebahagian dari 97 pembeli lot unit rumah terbabit membawa kes tersebut kepada Mahkamah Persekutuan sejak April lalu untuk mendapat pembelaan sewajarnya.

Lot unit rumah yang harga asalnya RM180, 000 ke RM190, 000 itu menurut Mohammad, pembeli turut membayar bayaran tambahan sebanyak RM39,500 kepada pemaju penyelamat terbabit.

“Kami difahamkan alasan pemaju penyelamat itu menjual lot unit rumah terbabit kerana pembeli tidak berminat ke atas kondominium tersebut. Sedangkan para pembeli bersetuju untuk membayar wang tambahan kepada pemaju penyelamat.

“Lebih mengecewakan sebab KPKT yang sepatutnya melindungi pembeli gagal bertindak sedemikian. Malah kelulusan untuk menjual lot unit rumah itu juga diberi oleh KPKT. Kami telah menulis surat kepada Bank Negara untuk menghapuskan kadar faedah, namun perkara itu tidak diendahkan,” katanya kesal.

Tiada ulasan: