Sabtu, 19 Januari 2013

PKR, DAP bebas tolak keputusan Majlis Syura

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PKR atau DAP mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung larangan pengunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam dalam Bible versi Bahasa Melayu.
 
Ketika dihubungi Antarapos, Tuan Ibrahim berkata keputusan yang dicapai melalui Majlis Syura Ulama PAS itu diterima oleh pemimpin dan ahli parti.
 
"Dari sudut parti, Majlis Syura Ulama bukan untuk parti-parti lain...ia untuk PAS dan ahli PAS. Lagipun perkara yang kita tidak setuju adalah penterjemahan kalimah Allah ke bahasa lain.
 
"Kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan dalam mana-mana bahasa lain. Kalau nama orang tidak mengapa, sebagai contoh Azmin...kalau diterjemahkan ke bahasa lain maksudnya tetap sama.
 
"Dalam PAS kita menerima keputusan itu, mesti akur kepada Majlis Syura Ulama," katanya.
 
Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas pendirian Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali semalam yang menolak keputusan Majlis Syura Ulama PAS selain turut menegaskan parti itu berpegang pada pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 8 Januari lalu yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam Bible.
 
Azmin juga menegaskan, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sebulat suara menerima pendirian Abdul Hadi yang membenarkan semua agama menggunakan kalimah itu tanpa  menterjemahkannya ke bahasa lain dan tidak boleh disalahgunakan.
 
Pada Ahad lalu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan yang 'nyata'.
 
Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan perkataan 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.
 
Tambah Tuan Ibrahim, bagi PAS isu tersebut sudah selesai dan tidak perlu dipolemikkan lagi.
 
"Mengenai Azmin, itu pandangan dia...hak parti, macam isu hukum hudud DAP tidak setuju tapi PAS dan PKR setuju.
 
"Keputusan kita tak meliputi parti lain...soal PKR nak setuju terpulang, itu pendirian parti kita. Itu pendirian PAS," katanya.
 
Kontroversi penggunaan kalimah Allah tercetus apabila Setiausana Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sambutan Hari Krismas tahun lepas menggesa kerajaan membenarkan penggunaan perkataan itu dalam kitab Bible seperti mana di Sabah dan Sarawak.
 
Gesaan itu mengundang titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyatakan kekesalan baginda apabila masih terdapat beberapa pihak yang membangkitkan isu itu walhal ia telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri pada 18 Februari 2010.

Tiada ulasan: