Sabtu, 5 Januari 2013

Pemuda Pas: Tidak ada fatwa berkait Amanat Hadi

NORSHAHZURA MAT ZUKI

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
 
KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mendakwa Majlis Fatwa Kebangsaan dijadikan ‘kambing hitam’ oleh kerajaan untuk membatalkan hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan mengenai Amanat Haji Hadi yang kembali muncul polemik.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, kerajaan menggunakan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan mengatakan bahawa badan itu telah memfatwakan Amanat Haji Hadi sebagai pandangan sesat dan bercanggah dengan Islam.

“Satu pembohongan. Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berkait dengan isu amanat ini. Kalau ada tindakan daripada kerajaan menganggap amanat tidak betul, mengapa tidak bertindak sebelum ini.

“Mereka membenarkan perkara ini berlarutan sehingga 30 tahun dan kini ia ditimbulkan semula,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beberapa hari lalu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memutuskan tidak akan menyiarkan forum yang membincangkan Amanat Haji Hadi menerusi RTM.

Rais dilaporkan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan amanat itu bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah.

Beliau berkata, perkara itu ditimbulkan semula kerana politik terdesak, ketandusan isu dan di kitar semula untuk menutup skandal, pendedahan penyelewengan pihak kerajaan bagi mengaburi mata masyarakat.

“Isu ini berlaku  30 tahun lalu dan pernah cuba diselesaikan melalui proses muzakarah tetapi dibatalkan pada beberapa tahun lepas.

“Apabila menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Umno dan Barisan Nasional (BN) ketandusan isu, terpaksa kitar semula isu 30 tahun lalu,” kata Nasrudin.

Nasrudin juga mempersoalkan Majlis Fatwa Kebangsaan yang tidak pernah mengeluarkan isu tersebut dan tidak bertindak jika Amanat Hadi tidak betul.

Tiada ulasan: