Ahad, 13 Januari 2013

Peguam Negara akui kelemahan saman AES


Abdul Gani berkata dia akan keluarkan kenyataan kepada media selepas semuanya telah tersedia. – Gambar fail
 
KUALA LUMPURn – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengakui terdapat kelemahan saman kamera perangkap kelajuan kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) serta pihaknya masih dalam perbincangan untuk menyelesaikan masalah melibatkan saman tersebut.
 Saman AES tersebut yang sering diserang pemimpin Pakatan Rakyat kerana terdapat kelemahan telah dibekukan pada Disember tahun lalu ekoran terdapat banyak bantahan dan tekanan daripada pesalah yang mendapat saman tersebut.

AGC sebelum ini memberikan alasan semua prosiding mahkamah berkaitan saman AES dibekukan untuk mengkaji isu perundangan yang dibangkitkan.

“Saya akan keluarkan kenyataan kepada media selepas semuanya telah tersedia,” kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dipetik daripada Mingguan Malaysia hari ini.

Menurut laporan itu lagi, Abdul Gani berkata keputusan melibatkan isu tersebut tidak dapat diumumkan pada masa ini kerana pihaknya perlu bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Beliau turut mempertahankan pengeluaran saman AES itu masih sah tetapi mengakui perkara yang menjadi masalah ialah apabila beberapa aspek undang-undang dan teknikal dibangkitkan.

Pembekuan saman oleh AGC berpunca daripada rungutan pelbagai pihak terhadap sistem AES yang sudah mengeluarkan hampir 300,000 saman sejak ia dimulakan pada 23 September lalu.

Pengerusi gerakan anti-AES dan Kumpulan Anti Saman Ekor, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini mengecam Putrajaya kerana masih degil dan meneruskan pengeluaran saman AES walaupun AGC telah menangguhkan semua prosiding mahkamah.

Mahfuz menegaskan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan mengutip kompaun AES bakal menyebabkan lambakan kes prosiding di mahkamah, memandangkan pesalah trafik tersebut akan membawa kes berkenaan ke mahkamah.

“Sepatutnya, JPJ tak boleh kutip kompaun sebab ia telah ditangguhkan AGC,” tegas Mahfuz.

Jelas beliau kepada pemberita, AGC telah pun mengeluarkan kenyataan terdapatnya masalah teknikal dalam proses perundangan di mahkamah, dan JPJ seharusnya mengeluarkan kenyataan untuk menghentikan kutipan kompaun sehingga AGC mengumumkan tarikh terbaru untuk prosiding di mahkamah di teruskan.

Dalam pada itu, The Malaysian Insider turut melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengatakan saman AES akan tetap dikeluarkan walaupun AGC telah menangguhkan prosiding di mahkamah.

Kong memberitahu The Malaysian Insider pihak berkuasa tidak akan berhenti mengeluarkan saman AES walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai termasuk pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Kerajaan tidak akan menghentikan saman AES ini, seperti yang sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu,” kata Kong

Namun, Kong turut mengakui saman AES tersebut bermasalah dari sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan tersebut.

Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi JPJ berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

Pihak polis, yang menguatkuasakan undang-undang had laju berkata, mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek saman berganda untuk pemandu ingkar.

Tiada ulasan: