Ahad, 20 Januari 2013

PBNJ: Kafa gagal tepati janji jamin keselamatan penyokong Johor

Wartawan Sinar Harian

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
 
PENGURUSAN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membuat akuan bersumpah berhubung insiden perlawanan Kelantan menentang Johor Darul Takzim, minggu lalu.

Akuan tersebut dibuat Setiausaha Kehormat, Suhairi Hashim dan Bendahari Kehormat, Datuk Abd Latiff Bandi.

Antara isi kandungan akuan mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 menyatakan kegagalan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menepati janji bagi menjamin keselamatan penyokong Johor Darul Takzim diserang dengan objek sehingga mengakibatkan kecederaan.

“Dalam perbincangan kira-kira jam 2 petang hari perlawanan, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ismail Mohd Nor berbincang berkaitan perlawanan malam itu, di mana Kafa menyatakan tidak maklum kehadiran 200 penyokong Johor Darul Takzim tetapi bersedia untuk kehadiran VVIP, biarpun surat telah dihantar pada 14 Januari.

“Perbincangan turut mengutarakan tentang suasana penyokong Kelantan yang masih tidak berpuas hati dengan isu Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan persediaan berhadapan provokasi penyokong,” katanya, semalam.

Satu mesyuarat diadakan jam 4 petang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dipengerusikan Ismail dan antara perkara dibangkitkan, memaklumkan kehadiran VVIP dan 200 penyokong Johor Darul Takzim yang beli tiket secara tempahan daripada Kafa.

Perkara lain yang dibincangkan adalah meminta kawalan keselamatan penyokong Johor Darul Takzim ditingkatkan dan pengerusi menjamin tiada masalah berlaku kerana penyokong Johor Darul Takzim diletakkan bersama Ultras Kelantan, polis serta Rela yang akan mengawal sebagai tembok pemisah.

“Saya minta kawalan FRU dibuat tetapi dimaklumkan FRU tidak boleh ada dalam stadium kerana penyokong Kelantan merasakan ia satu provokasi dan akan menyebabkan mereka bertindak liar.

"Pengerusi juga memberitahu jika terjadi kejadian merusuh, penyokong Johor Darul Takzim diminta jangan bergerak sehingga lampu dimatikan dan penyokong Kelantan dibawa keluar, barulah penyokong Johor Darul Takzim dibenarkan keluar ikut laluan belakang diiringi polis," katanya.

Menurutnya, ancaman menjadi kasar selepas gol Kelantan pada minit ke-38, dengan membaling objek bukan sahaja ke padang tetapi penyokong Johor Darul Takzim dan berterusan hingga tamat wisel.

Jelasnya, lampu dipadamkan 11.35 malam, penyokong Johor Darul Takzim mula diiring masuk ke padang dengan iringan polis menggunakan jalan belakang ke IPK.

Beliau berkata, Kafa gagal tepati janji untuk jamin keselamatan atas kekasaran itu, satu laporan polis dibuat di Johor Bahru sebaik tiba di negeri ini.

Tiada ulasan: