Rabu, 2 Januari 2013

Mogok lapar anti-Lynas, Kuantan terus dibayangi gelar “Bandar Radioaktif” Malaysia

 Oleh Hafiz Zainuddin

DI SEBALIK hiruk pikuk raptai sempena sambutan Hari Natal dan Tahun Baru 2013 peringkat nasional di Dataran Merdeka, di belakang sebuah pentas dan khemah gergasi, di bawah limpahan cahaya gemerlapan pohon palma yang dihiasi LED kebiruan, satu ceruk pinggir dataran itu ada sekelompok 27 orang anak muda yang tekad menahan lapar demi membebaskan buminya daripada pencemaran.

Kumpulan yang dinamakan “Anak Muda Menentang Projek Memudaratkan Alam Sekitar” sedang mogok lapar 100 jam sehingga jam 12 tengah malam esok, 1 Januari 2013.

Mogok lapar, seperti Ghandi demi kemerdekaan India, seperti Orlando Zapata yang berlapar di penjara Cuba sehinnga hujung nyawanya, Fadzlullah dan Razali berlapar ketika ditahan ISA demi kebebasan. Namun, tindakan mereka tidak dipeduli kerajaan

Ini membuktikan kerajaan BN terlalu angkuh untuk belajar daripada pencemaran radioaktif yang berlaku di Papan, Perak dan tidak lama lagi bumi Kuantan pula akan dinobat gelaran ‘bandar radioaktif’.

Ketika penduduk Bukit Koman menjadi mangsa santau angin Sianida, kerajaan pula bersikap ‘tuli’, enggan mendengar segala teguran, rayuan dan tuntutan rakyat, apa lagi permintaan penduduk setempat untuk dibela dan diselamatkan.



Atau mungkin, kerajaan punya strategi. Mahu harga tanah di kawasan itu jatuh dan penduduk mula berpindah kemudian membangunkan bandar baru dengan segala insentif dan jaminan kepada pelabur dan pemaju. Siapa tahu, apapun spekulasi yang timbul, masyarakat cuma akan bangkit apabila masalah menghempap batang hidung. Ini lebih cocok dengan budaya rakyat Malaysia mungkin?

Mengharap ehsan kerajaan: hentikan Lynas

Di bucu itu, dalam tenggelam timbul suara Arulchelvan daripada PSM memberi ucapan, seorang lelaki sedang berbaring dengan tangannya diikat dengan kain bernombor A20. Lee Chin Chen, 28, adalah seorang daripada peserta mogok lapar itu.

Beliau bingkas duduk apabila saya menyapa. Chin Chen adalah anak muda yang berasal dari Kuantan. Sambil membetulkan sleeping bag, menurutnya sehingga hari ini, beliau sudah 50 jam tidak menjamah sebarang makanan kecuali meneguk air kosong.

“Saya anak Kuantan. Ini isu besar bagi saya,” katanya sambil bersandar di balik tembok kecil beralaskan tikar.


Apabila ditanya mengapa beliau menyertai mogok lapar itu. Chin Chen yang juga seorang Pemuda DAPSY Pahang berkata, ini antara cara yang boleh digunakan.

“Sebelum ini pun kita pernah berhimpun beberapa kali sehingga berjalan kaki 14 hari dari Kuantan ke kuala Lumpur. tapi keadaan tetap sama. Kerajaan tetap berdegil dan tidak buat apa-apa.

“Kali ini kita harap kerajaan akan dengar suara kita, prihatin terhadap risiko yang bakal dihadapi Kuantan, Bukit Koman dan Malaysia!,” tegasnya yang kelihatan lemah.

“Saya bukan daripada mana-mana parti atau NGO”

Selesai saja bersembang dan menemubual Chin Chen, mata saya terarah kepada seorang wanita yang asyik mendengar ucapan dan di sebelahnya seorang teman yang berkerusi roda. Saya merapati mereka.

Hanya mahu dikenali sebagai Kak Kamilah, 40, beliau yang berasal dari Serdang turut serta dalam mogok lapar itu atas kesedaran dan keperihatinannya dengan masalah yang sedang membelenggu penduduk Kuantan.

“Akak ada di sini nak tunjukkan rasa marah akak, sedih dan protes kenapa sampai sekarang kerajaan nampaknya tidak langsung peduli mengenai isu ini. Ini isu besar dan bukan isu main-main,” tegasnya.



Dalam santai menjawab soalan yang dilontarkan, beliau yang hadir dengan kehendak sendiri dan bukan ahli mana-mana NGO atau parti politik turut kesal terhadap kerajaan BN kerana mereka seolah-olah tidak mahu memikirkan nasib generasi akan datang.

Seorang lagi peserta mogok lapar yang ditemui yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 24, berkata rakyat tidak mempunyai banyak masa lagi untuk berdiam diri kerana operasi Lynas akan dimulakan bila-bila masa saja dan ia harus dihentikan.

“Saya sangat sedih dengan respon kerajaan BN. Mereka tak tunjuk rasa hormat dan keperihatinan mereka kepada rakyat.



“Saya di sini untuk menunjukkan sokongan kepada perjuangan. Kita nak hentikan projek Lynas, termasuk isu pencemaran cynade di Bukit Koman,” katanya yang juga berasal dari Pahang.

“DAPSY sokong penuh tuntutan ini”

Malam sudah hampir jam 10 tetapi orang ramai terus membanjiri bucu kecil, sisa Dataran Merdeka yang ‘ditawan’ peserta mogok lapar. Sambil meninjau dan bertegur sapa dengan beberapa teman yang hadir, saya berkesempatan bertemu Ketua Pemuda DAPSY Selangor, Chua Yew Chung.

Menurutnya, DAPSY Selangor menyokong penuh usaha itu agar kerajaan segera bertindak terhadap semua isu alam sekitar yang timbul terutamanya isu Lynas di Kuantan dan perlombongan menggunakan bahan kimia Sianida di Bukit Koman.

“Saya berharap, tidak ada perkara buruk yang berlaku dan setinggi-tinggi tahniah buat mereka yang berani mogok lapar menyuarakan hasrat mereka.

“Saya percaya perjuangan mereka mewakili seluruh penduduk Kuantan dan Bukit Koman,” katanya.



Dalam masa sama, Chua berkata, sebagai tanda solidariti, DAPSY Selangor membekalkan 10 dozen air mineral dan 200 pasang ear plug kepada peserta mogok lapar disebabkan mungkin wujud gangguan bunyi daripada latihan persembahan sambutan tahun baru yang diadakan.

Sudah tiba masanya untuk bangkit

Apabila sebahagian rakyat turun ke jalan menuntut pilihan raya bersih, harga minyak dan gula dikurangkan, tol dimansuhkan dan gaji dinaikkan; sebahagian yang lain pula boleh secara sinikal berkata “bersyukurlah, asal jangan huru hara, asal jangan hilang kerja. Lainlah kalau minyak naik seringgit, lainlah kalau tol naik beringgit-ringgit.”

Walhal, mereka dan kita pada masa yang sama saban bulan mengeluh akibat kurang modal belanja, simpanan makin berkurang, ada yang terpaksa menjual nasi lemak di pejabat, masuk MLM dengan segala janji manisnya, perokok pula mula menukar rokok dengan jenama murah dan semakin lama, banyak nama terpampang di ruang iklan dalam senarai muflis.

Benar. Projek Lynas belum menampakkan taringnya, belum cukup untuk membelasah lapangan tanah subur dan udara segar bumi Pahang. Adakah hanya kecelakaan yang boleh mengajar kita? Semangat yang ditunjukkan peserta mogok lapar demi bumi tercinta adalah kerja buat yang mulia dan tersanjung biarpun kerajaan BN terus membutakan mata mereka.

Justeru, seluruh rakyat Malaysia harus sedar, walaupun diam itu kadang-kadang lebih baik, tetapi tidak berdosa juga kiranya bangkit menegur dan suarakan bantahan. 12 Januari ini bakal menyaksikan satu lagi sejarah bakal tercatat dalam lembaran Malaysia pasca merdeka. Dari Kuantan, Bukit Koman, dari kampung, Felda dan bandar besar, ayuh kita pekikkan suara keadilan, suara kedamaian, suara kebebasan! – Roketkini.com

Tiada ulasan: