Isnin, 14 Januari 2013

Krisis air Lembah Klang bukti BN lebih sayang syarikat kroni daripada rakyat

 Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Walaupun masalah bekalan air di Lembah Klang berlaku akibat kecuaian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), kerajaan Barisan Nasional (BN) bersungguh-sungguh membela syarikat itu sekaligus membuktikan mereka lebih “sayangkan” syarikat kroni daripada kepentingan rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, tuduhan BN yang meletakkan tanggungjawab masalah itu kepada Kerajaan Selangor sengaja dibuat supaya Projek Langat 2 yang menelan belanja berbilion ringgit “dihalalkan”.

“Ini memang tidak masuk akal. Kalaupun Langat 2 dibina, ia akan siap paling awal pada 2014. Adakah ia mampu menghalang masalah bekalan air yang melanda Lembah Klang dan menyusahkan penduduk.

“Yang peliknya, mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Peter Chin memilih untuk membela dan menangkis kritikan terhadap SYABAS daripada membela rakyat,” soalnya.

Kata Pua, Najib bermain kata-kata apabila menyatakan rasa “sedihnya” melihat rakyat terutama yang tinggal di flat terpaksa mangangkut air ke rumah mereka, pada masa sama beliau mendakwa BN juga tidak boleh berbuat apa-apa untuk selesaikan masalah itu kerana kerajaan Negeri Selangor tidak memberi “lampu hijau” terhadap pembinaan projek Langat 2.

“Najib memalukan diri sendiri apabila cuba kelirukan rakyat. Krisis air itu tidak ada kena mengena dengan Langat 2 tetapi amat jelas disebabkan ketidakmampuan SYABAS menyelenggarakan perkhidmatan bekalan air yang sedia ada dengan baik.

“Tetapi, apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan untuk mengambil alih sepenuhnya operasi SYABAS, cadangan itu ditolak Menteri, Peter Chin,” ujar Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Jelasnya lagi, Peter Chin memberi penjelasan mengarut dengan mengatakan “kerajaan Negeri Selangor tidak boleh mengambil alih SYABAS kerana ia melanggar syarat perjanjian konsesi.

“Alasan menteri itu menunjukkan kerajaan BN sedia bertolak ansur dengan kroni mereka walaupun rakyat terbeban dan menderita akibat masalah bekalan air.

“Memang perjanjian konsesi SYABAS boleh ditamatkan jika SYABAS gagal memenuhi tanggungjawabnya dengan baik. Tetapi masalah utama kenapa penamatan itu tidak boleh diteruskan adalah kerana kerajaan BN bermati-matian melindungi mereka,” katanya.

Kerajaan Negeri Selangor, jelas Pua, memang mahu menamatkan perjanjian konsesi SYABAS untuk memastikan kualiti perkhidmatan air diperbaiki dan negeri tidak akan mengalami gangguan akibat penyelenggaraan yang buruk.

“Tetapi apa yang berlaku, tuduhan BN itu membuktikan mereka tidak mampu mengubah diri mereka sendiri. Kroni lebih utama daripada permasalahan rakyat di Lembah Klang,” kata Pua lagi.- Roketkini.com

Tiada ulasan: