Sabtu, 26 Januari 2013

Kes saman: 'Alhamdulillah', kata Annuar

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
 
Annuar Musa
Annuar Musa 
 
"ALHAMDULILLAH." Demikian reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak dengan kos permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membatalkan saman pemula yang difailkan berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM.

Annuar berkata, hakim menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan yang dibuat olehnya mempunyai asas.

"Alhamdulillah. Hari ini (semalam) Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mendengar perbicaraan bantahan awal FAM terhadap rayuan keputusan penggantungan saya dari FAM.

"Perbicaraan yang berjalan pada jam 9.30 pagi semalam telah memihak kepada saya," katanya ketika dipetik menerusi laman Facebooknya, semalam.

Tambah Annuar, "sebelum ini, FAM telah mengemukakan bantahan awal tersebut supaya mahkamah menolak rayuan saya, di atas alasan saya telah bersetuju untuk dibicarakan oleh FAM walaupun FAM gagal mengikuti prosedur."

"Namun, mahkamah telah menolak bantahan awal FAM atas alasan kes rayuan tersebut mempunyai merit untuk didengar sepenuhnya dan di atas alasan perlanggaran prinsip keadilan semulajadi oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM," katanya.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 25 Februari ini untuk pendengaran kes itu sepenuhnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak dengan kos permohonan FAM untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Annuar berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM.

Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar berkata hakim, menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan yang dibuat oleh anak guamnya mempunyai asas.

Pada 5 Jun 2012, Annuar selaku plaintif memfailkan saman pemula di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzudin Ahmad sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhkan terhadapnya tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide (berniat jahat).

Beliau berkata Azzudin dalam surat bertarikh 2 April 2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM dengan alasan defendan kedua sendiri yang akan mewakili beliau.

Sedangkan katanya,Azzudin tidak sepatutnya menjadi wakil beliau kerana defendan kedua adalah pihak yang membuat tuduhan.

Sehubungan itu Annuar menuntut 10 perisytiharan berhubung tindakan FAM yang membawa kepada penggantungan beliau, antaranya ialah pertuduhan FAM terhadap beliau dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.

Annuar juga mendakwa perbicaraan tatatertib pada 4 April 2012 dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya (5 April 2012) tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.

Selain itu, beliau memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kesemua tindakan yang membawa kepada penggantungan beliau itu tidak mematuhi status dan kod tatatertib FAM yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.

Annuar turut memohon perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan lain-lain jawatan serta melibatkan diri dalam sebarang acara bola sepak.

Tiada ulasan: