Ahad, 6 Januari 2013

Kerajaan Negeri Sumbang Tanah Komersial RM17 juta kepada SJK (C) Khe Beng


sumbangan tanah sekolah cina kota kemuning 01

SHAH ALAM  : Pelajar dan guru SJK (C) Khe Beng kini tidak perlu lagi bersesak di ruang belajar yang sempit setelah Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah komersil bernilai RM 17 juta untuk pembinaan sekolah baru di Kemuning Utama.

Sebelum ini, 1,400 pelajar terpaksa belajar dalam ruang yang terhad dan sempit manakala guru-guru di sekolah itu terpaksa berkongsi kerusi dan meja sejak beberapa tahun yang lalu.

Tanah yang berkeluasan empat ekar itu diluluskan oleh mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) pada 18 Mei 2012 hasil laporan daripada Adun Sri Muda, Suhaimi Shafei.

Sekolah itu ditubuhkan pada 1929 di Jalan Bukit Kemuning dengan tanah tapak sekolah seluas 0.95 ekar didermakan oleh seseorang.

Namun, tapak tanah sekolah itu masih belum digazetkan oleh kerajaan negeri Umno-BN dahulu sedangkan bangunannya sudah didirikan berpuluh tahun lalu.

Setelah populasi pelajar bertambah setiap tahun pengurusan sekolah meminta tapak tanah baru namun ini ditolak oleh Kerajaan Selangor Umno-BN dahulu.

Suhaimi berkata proses permohanan tapak tanah sekolah yang baru itu mengambil masa kira-kira setahun setengah yang lalu.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana berjaya mendapatkan hak mereka yang sebelum ini dinafikan oleh pentadbiran sebelum ini.

“Mereka bersungguh-sungguh memperjuangkan hak mereka walaupun terpaksa menghadapi pelbagai karenah birokrasi,” katanya dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Surat Pengesahan Tapak Sekolah itu.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud ; Pengerusi Lembaga Pengarah SRJK (C) Khe Beng, Datuk Ng Tiong Seng ; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam Zon 12, Tan Ah Kow dan Pengarah Urusan Paramount Property, Datuk Ricque Liew.

Turut hadir Pengerusi dan Lembaga Pengarah SJK (C) Chung Hwa dan Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Suhaimi menambah Pakatan Rakyat (PR) sangat mementingkan pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat. Oleh itu, bagi PR, perkara sedemikian tidak harus dipolitikkan.

“Kita yakin dengan kemudahan yang baik dan selesa ia akan dapat melahirkan generasi yang baik pada masa akan datang.

“Saya menyeru Kementerian Pendidikan meluluskan permit dan memberi peruntukkan sebanyak RM 8 juta daripada kos keseluruhan yang dianggarkan RM 12 juta bagi pembinaan sekolah baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ng mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri.

Dalam majlis yang sama Suhaimi dan Dr Mariah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 20,000 kepada SJK (C) Tun Tan Sie Lin, Putra Height dan SJK (C) Chung Hwa, Kota Kemuning.

Dalam belanjawan 2012, Kerajaan Negeri sudah memberi peruntukkan sebanyak RM100,000 kepada SJK (C) Chung Hwa, Kota Kemuning, RM20,000 kepada SJK (C) Khe Beng dan SJK (C) Tun Tan Siew Sin.

sumbangan tanah sekolah cina kota kemuning 02

Tiada ulasan: