Oleh: ZULKIFLI YAHAYA |
Hakikat sedia dimaklumi bahawa Pakatan Rakyat hanya wujud selepas PRU12, iaitu pakatan perkongsian kuasa antara ketiga-tiga parti PAS, KeADILan dan DAP setelah BN dikalahkan di lima buah negeri. Sebelum PRU12, yang terjalin hanya persefahaman untuk menjatuhkan BN dengan mengelak pertandingan sesama sendiri.
Dalam PRU13 diadakan nanti, semua parti komponen Pakatan akan berkempen untuk pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya. Ramai tertanya-tanya akan model atau rupabentuk Pakatan yang akan ditonjolkan kepada rakyat jelata. Maka pada 12 Januari lalu, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur rakyat dipertontonkan dengan rubentuk Pakatan yang dijangka akan mengambil alih kerajaan daripada BN nanti. Jika ada yang bertanya, apakah kejayaan besar Pakatan menganjurkan Himpunan Kebangkitan Rakyat maka itulah jawapannya... kejayaan menyatukan kepelbagaian.
Daripada jumlah kehadiran yang besar itu, majoritinya orang Melayu yang merupakan kira-kira 60 peratus kehadiran. Ia diikuti oleh kaum Cina dan India. Kaum etnik orang asal turut hadir walau dalam jumlah yang kecil tapi terserlah. Kehadiran orang ramai adalah dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Semuanya hadir melengkapkan sokongan.
Di atas pentas utama, semua pihak yang berkaitan dengan negara Malaysia, berpeluang berucap. Kesatuan sekerja, mahasiswa, OKU, jawatankuasa ad-hoc pelbagai tuntutan serta parti-parti politik yang bakal memimpin Malaysia berpidato menyampaikan wawasan dan harapan. Penyanyi dan pemuisi juga diberi ruang.
Gelagat kehadiran juga pelbagai. Dalam stadium laungan takbir bergema tanpa halangan meskipun ramai non Muslim turut serta. Kelihatan umat Islam bersolat di mana-mana, asal ada ruang. Daripada ulamak yang berserban hinggalah kumpulan punk yang berserabut. Semuanya boleh duduk bersama dalam satu himpunan besar, menzahirkan sokongan terhadap Pakatan. Ia benar-benar sebuah himpunan berwajah Malaysia hasil kejayaan Pakatan menyatukan kepelbagaian. Ramuan himpunan seperti inilah sebenarnya yang sangat menakutkan BN.
Terlalu lama BN berkuasa, antara faktornya ialah kerana pembangkang tidak dapat menyaingi BN dari aspek menyatukan kepelbagaian. Selepas 57 tahun, kini baru pembangkang dapat melakukannya. Dalam sistem demokrasi, formula untuk menang sangat mudah – mendapat sokongan paling besar berbanding pesaing, menanglah! Bukan mudah pula untuk mendapat sokongan dari kalangan rakyat yang masing-masing berbeza. Ia hanya boleh dilakukan dengan persefahaman antara parti yang mewakili pihak masing-masing. Pentas Himpunan kebangkitan Rakyat menyerlahkan keteguhan persepakatan itu.
Hari ini situasi sedang jadi terbalik. Dahulu PAS hanya mampu tarik sokongan pengundi Melayu/Islam, kini sewaktu PAS disokong oleh semua kaum dan kalangan, Umno pula sedang berhempas pulas untuk memenangi hati orang Melayu semata-mata. Bukan kerana undi bukan Melayu sudah tidak penting bagi Umno, tetapi mereka sudah tidak mampu untuk mendapatkannya secara lumayan seperti dahulu. Pilihan yang ada ialah; bersikap lunak pada semua kaum tetapi undi Melayu belum pasti dikuasai atau memperalatkan habis-habisan sentimen perkauman Melayu untuk mendapat undi Melayu walaupun menimbulkan kebencian dari bukan Melayu. Umno secara nekad membuat pilihan kedua sekalipun pilihan kedua itu belum tentu lebih baik baginya.
Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka adalah peristiwa besar yang memberi impak sangat besar kepada rakyat Malaysia. Kali pertama juga dalam siri himpunan-himpunan besar yang diadakan di Kuala Lumpur, tiada gas pemedih mata atau air kimia yang jadi hidangan peserta himpunan. Tidak seperti dahulu, para peniaga membuka perniagaan seperti biasa dan mendapat pulangan yang sangat lumayan dari kehadiran besar rakyat yang datang dari seluruh negara. Media-media talibarut BN langsung tidak dapat mengeksploit isu keganasan dan kerugian peniaga seperti sebelum ini. Tiada lagi bantahan dan saman dari para peniaga kerana kerugian. Media BN hanya mampu mengeksploit cerita kehadiran seorang dua kanak-kanak di himpunan tersebut walhal dalam himpunan Perdana Menteri kerahan tenaga dibuat terhadap pelajar sekolah untuk menyertainya.
Himpunan sangat berjaya, cuma masalahnya ialah bagaimana mesej kejayaan ini hendak dikhabarkan ke setiap pintu rumah rakyat Malaysia. Semua media utama yang dikuasai BN menyembunyikan sama sekali kejayaan besar ini. Bukan semua pula kalangan rakyat yang mengakses internet untuk melihat peristiwa besar ini.
Maka tugas semua pendokong Pakatan ialah menyebarkan berita besar ini kepada rakyat, selain dari media maya. Himpunan penerangan pasca Himpunan Kebangkitan Rakyat mesti diadakan di setiap lokasi. Gambaran himpunan berserta informasi secara bercetak, risalah, banner, billboard dan cakera padat mesti diperbanyak dan disebarluaskan. Rakyat umumnya akan sentiasa bersama dengan pihak yang kuat dan disokong ramai orang kerana psykologi manusia akan merasa selamat untuk berada dalam kelompok yang besar. Himpunan Kebangkitan Rakyat dapat menceritakan perihal tersebut.
PRU13 akan berlaku dalam tempoh tiga bulan ini sahaja, maka bertindaklah melalui apa cara pun sehingga semua rakyat Malaysia mendapat maklumat mengenainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan