Rabu, 9 Januari 2013

KEADILAN gempur kem askar mahu perjelas isu pencen askar diseleweng

Oleh Sidiqin Omar

PETALING JAYA : Bermula malam esok, KEADILAN akan menjelajah ke kem tentera seluruh negara untuk menjelaskan isu penyalahgunaan RM160 juta wang caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Boustead Holdings Berhad.

“Kita akan menjelajah dan mengadakan ceramah sehampir mungkin dengan kawasan kem tentera. Kita juga akan sediakan material bacaan untuk diedarkan,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

“Kita akan bermula di Setiawangsa dengan tumpuan khusus di kem askar. Kemudian kita akan bergerak ke Lumut pada 14 Januari, Bandar Tun Razak (17 Januari) dan Port Dickson (20 Januari).



“Seminggu selepas itu, kita juga akan ke Kuantan (Pangkalan Udara Kuantan) dan Butterworth (Pangkalan Udara Butterworth),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Jelas Rafizi, isu ini menimbulkan kegelisahan di kalangan ramai bekas anggota tentera, manakala banyak pihak memberi komen.

“Sebab itu penting untuk semua orang mendapat penjelasan. Jelajah ini meliputi sebahagian besar kawasan kem tentera,” katanya.

“Kita mempunyai kumpulan bekas tentera yang aktif diketuai oleh Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi, bekas jeneral angkatan udara (TUDM) yang mempunyai jaringan besar,” katanya.

Pada 31 Disember lalu, kira-kira 20 bekas tentera bersama Rafizi mengadakan himpunan di hadapan Wisma Boustead di Jalan Raja Chulan menuntut kebenaran akses terhadap dokumen urusniaga dengan Awan Megah dan Asta Canggih.

Namun, pentadbiran Boustead menghalang dengan alasan LTAT tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut, melainkan bekas anggota tentera membeli saham Boustead.

Tiada ulasan: