Khamis, 10 Januari 2013

Jejantas Kewajipan : Janji Tidak Ditepati BN Dilangsai Kerajaan PR Selangor


Perasmian Jejantas di Persiaran Kewajipan USJ 01

SUBANG JAYA: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor sekali lagi membuktikan kemampuan apabila berjaya melangsaikan janji membina jejantas pejalan kaki di Persiaran Kewajipan yang gagal ditunaikan Umno-BN dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Jejantas berkenaan siap pada Disember lalu dengan kos RM1.35 juta berbanding RM3 juta yang dijanjikan Umno-BN.

Pembinaan ini dibuat oleh Aminsa Bina Sdn Bhd yang memenangi tender terbuka selaras dengan dasar Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum merasmikan Jejantas Pejalan Kaki di Persiaran Kewajipan di sini pagi tadi berkata, jejantas yang dibina ini adalah antara yang termurah dibina di Selangor tetapi tidak menjejaskan kualitinya, sama dengan jejantas lain kerana kita buat tender terbuka.

“Dahulu, kalau BN, perlukan peruntukkan lebih RM3 juta untuk bina jejantas, tetapi PR dengan RM3 juta boleh buat dua jejantas,” ujar Menteri Besar.

Dalam majlis sama, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh memberitahu, janji yang dibuat bekas calon BN bagi Parlimen Kelana Jaya, Datuk Lee Hwa Beng dan bekas calon Subang Jaya, Ong Chong Swen itu dibuat dalam satu kenyataan media pada Febuari 2008.

Bagaimanapun selepas tewas pada PRU 2008, Hannah berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya, bahawa projek itu tidak akan diteruskan atas alasan ia adalah janji peribadi Datuk Seri S.Samy Vellu yang pada ketika itu merupakan Menteri di Kementerian berkenaan.

“Disebabkan ketiadaan Sammy Vellu dan Datuk Lee selepas tewas dalam PRU, maka pihak Kementerian mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek pembinaan jejantas tersebut. Saya kemudiannya meminta bantuan daripada Kerajaan Selangor untuk mendapatkan peruntukan walaupun projek ini bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Selepas 4 tahun menunggu janji yang dibuat oleh Umno-BN dan lebih daripada 1600 tandatangan dikumpulkan dalam petisyen, pada Mei 2012 Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan peruntukan negeri untuk membiayai jejantas ini,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri PR Selangor turut mengambil langkah melaksanakan beberapa janji yang tidak ditepati BN dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke 12 lalu.

Antaranya, termasuklah projek pembinaan Jambatan ke tiga Klang yang menelan belanja sebanyak RM300 juta.

Perasmian Jejantas di Persiaran Kewajipan USJ 02 Perasmian Jejantas di Persiaran Kewajipan USJ 03

Tiada ulasan: