Rabu, 30 Januari 2013

JASA salah guna kuasa, dana awam berkempen untuk UMNO/BN

Roketkini.com

KUALA LUMPUR,: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi lebih gementar menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berikutan angin perubahan di rantau ini bertiup kencang termasuk kemenangan Lee Li Lan dari Parti Buruh yang mengalahkan PAP pada Pilihan Raya Kecil Punggol East, Singapura dengan majoriti 3,182 undi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib menjadi lebih gementar kerana sebuah agensi kerajaan menyalahgunakan dana awam dengan menjelajah seluruh negara untuk menyebarkan maklumat bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mendapat dua pertiga majoriti pada PRU-13.

Katanya, Bernama dalam laporannya menyatakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan, Fuad Hassan ketika menjawab satu soalan daripada peserta Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor bahawa BN mampu memenangi dua pertiga pada PRU-13 jika bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan.

“Fuad menjelaskan bagi memperoleh majoriti dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

“Fuad yakin sokongan orang Melayu untuk BN di Johor mampu melebihi 80 peratus manakala sokongan orang India juga telah pulih sepenuhnya daripada kejatuhan PRU 2008, dan begitu juga sokongan masyarakat Cina.

“Fuad secara peribadinya sebagai rakyat Malaysia berhak untuk percaya dan berusaha bagi memenuhi matlamat BN mendapatkan semula majorti dua pertiga pada PRU-13, tetapi bukan urusan beliau untuk mengetuai JASA yang didanai oleh dana awam, berkempen untuk UMNO/BN.

“Ini adalah penyalahgunaan dana awam dan kemudahan kerajaan, penyelewengan kerajaan yang semakin menjadi-jadi, terang-terangan dan berleluasa selepas 55 tahun pemerintahan UMNO /BN,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 74 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman dapat membezakan kepentingan kerajaan, parti politik yang berkuasa dan kapasiti peribadi, yang menjadi sebab penting mengapa rasuah dan penyalahgunaan kuasa diperhatikan dengan tegas pada tahun awal Merdeka tidak seperti tiga dekad lalu yang melampau melakukan penyalahgunaan kuasa dan dana awam.

Katanya, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan Perdana Menteri pada April 1959, kerana merasakan beliau perlu ke serata negara untuk mengukuhkan sokongan terhadap Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum 1959, ketika berdepan cabaran hebat oposisi.

“Tunku meletakkan jawatan untuk sementara waktu antara April hingga Ogos 1959 supaya tidak dituduh menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai Perdana Menteri apabila mengetuai kempen untuk meraih sokongan umum kepada Perikatan, dan menyambung semula jawatan itu selepas Perikatan memenangi PRU 1959.

“Tindakan Tunku itu tidak dapat dibayangkan hari ini apabila ada jabatan dan Kementerian yang matlamatnya hanya satu iaitu menyalahgunakan kuasa dan dana awam secara terang-terangan dan tidak tahu malu berkempen meraih undi untuk UMNO/BN bagi PRU-13.

“Fuad sepatutnya dipecat daripada Ketua Pengarah JASA, kerana menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya sebagai kakitangan awam dan dana awam. Selain itu, Fuad sepatutnya meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah Kementerian Penerangan dibubarkan.

“Fuad sepatutnya menyertai UMNO sebagai pegawai khas untuk mempromosikan capaian media sosial untuk UMNO/BN menjelangnya PRU-13, dan gajinya dibayar oleh dana parti, bukannya dana awam kerana itu terang-terangan merupakan matlamat parti politik,” katanya.

Menurut Kit Siang, jelas Fuad dan JASA hanya sebahagian daripada penyalahgunaan jentera awam dan dana awam untuk memenuhi matlamat dan objektif pemimpin UMNO/BN. Ini satu lagi sebab mengapa perlunya UBAH pada PRU-13 untuk mengakhiri secara sistematik penyalahgunaan kuasa kerajaan dan dana awam yang semakin menjadi-jadi dan punca berleluasanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam negara. – Roketkini.com

Tiada ulasan: