Jumaat, 18 Januari 2013

Isu Air : Mohd Zin Jadikan 5 Juta Penduduk Selangor Sebagai Tebusan Politik


faekah

SHAH ALAM : Tuduhan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Kerajaan Selangor bermain politik dalam isu air seperti memperjudikan nasib dan kepentingan lebih 5 juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Jelas Faekah, usaha Kerajaan Negeri mengambilalih perkhidmatan air dengan niat semata-mata mahu menjaga kebajikan pengguna yang selama ini tidak mendapat pembelaan kerana kerajaan sebelum ini hanya mementingkan tembolok dan kroni sendiri.

Sehingga kini rakyat dipaksa menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang langsung tiada kepakaran dalam industri air menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tidak munasabah.

“Malangnya, selepas empat tahun berunding usaha pengambilalihan ini masih gagal kerana kerajaan Pusat tidak menyokong usaha ini lantaran lebih mementingkan syarikat konsesi daripada kebajikan rakyat.

“Bukan sekadar itu, syarikat konsesi ini mendapat sokongan kuat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang turut melemparkan tuduhan tidak berasas mengenai isu air dan menghentam usaha Menteri Besar, Tan Sri Seri Abdul Khalid Ibrahim mengambilalih perkhidmatan air,”katanya dalam satu kenyataan media.

Faekah juga mempersoalkan siapa sebenarnya yang bermain politik dalam isu ini.

“Jika sememangnya kerajaan Persekutuan tidak setuju perkhidmatan air diambilalih kerajaan negeri, mengapa mereka meluluskan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membenarkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi? Mengapa penstrukturan air boleh dilaksanakan di Terengganu, Perak dan Melaka dan tidak Selangor,? soalnya.

Faekah juga yakin, sekiranya Kerajaan Negeri diberi peluang mengurus sendiri air ia akan membuktikan dasar penswastaan BN yang diberi kepada kroni adalah gagal.

Oleh itu, tidak hairan pemimpin Umno bermati-matian mempertahankan konsesi ini dan akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat Selangor di dalam isu air ini.

Ini kerana, BN percaya jika kerajaan Selangor dibenar mengambilalih perkhidmatan air maka peluang mereka untuk kembali menang di Selangor akan terus terkubur.

“Kita sebenarnya telah menerima maklumat risikan bahawa Umno akan menggunakan isu air untuk mengadu domba rakyat.

“Bagaimanapun Menteri Besar telah mengarahkan semua PBT bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan,”katanya.

Justeru, apabila lima buah pam di Wangsa Maju tiba-tiba rosak serentak maka semua PBT di Selangor terus bergerak membantu kawasan-kawasan terlibat termasuk di Wilayah Persekutuan. Kecekapan dan sikap tolong menolong semua pihak telah mengurangkan impak sabotaj yang dilancarkan BN.

Faekah juga membidas sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkali-kali merayu agar diberi peluang untuk BN kembali mentadbir Negeri Selangor dilihat begitu terdesak.

“Janji Najib untuk selesaikan isu air jika BN berjaya menawan semula Selangor menguatkan bukti bahawa BN menjadikan rakyat Selangor dan Lembah Klang sebagai tebusan politik. Janji berupa ugutan tersebut lebih menonjolkan sifat buruk pimpinan Umno apatah lagi datangnya dari pemimpin tertinggi.

“Md Zin sepatutnya malu untuk menuduh kerajaan hari ini berpolitik dalam isu air sedangkan pemimpin tertinggi Umno yang begitu jelas telah hilang wibawa semata-mata mahu mengambil semula Selangor,”tegasnya.

Tambahnya, sukar untuk mempercayai beliau boleh mengeluarkan hujah dangkal kononnya kerajaan negeri berkuasa sepenuhnya ke atas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana Syabas adalah anak syarikat Kerajaan Negeri. Jika Syabas anak syarikat kerajaan Selangor, kita tidak akan berdepan dengan masalah sebegini.

Hakikatnya Kerajaan Negeri hanya mempunyai saham 30 peratus dalam SYABAS manakala pemegang saham ter besar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangan Diperbadankan pemegang saham emas.

Golden Share atau saham emas dalam syarikat konsesi ini yang memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat keputusan sebagaimana termaktub di dalam WSIA. Malangnya Kerajaan Persekutuan lebih suka berpolitik dan mengutamakan kepentingan kroni berbanding rakyat teramai.

‘Jika Mohd Zin mahu menjadi jaguh dalam isu air ini, seloknya beliau membuat kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam agar sekurang-kurangnya mempunyai sedikit kredibiliti ketika membuat tuduhan ke atas Pakatan Rakyat,”katanya lagi.

Tiada ulasan: