Jumaat, 25 Januari 2013

Ibu bapa William kenalpasti mayat kanak-kanak dijumpai anak mereka

THE MALAYSIAN INSIDER


PETALING JAYA,— Ibu bapa kepada William Yau Zhen Zhong, 6, mengenal pasti mayat kanak-kanak yang dijumpai di Pelabuhan Klang petang semalam adalah anak mereka yang dilapor hilang 16 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mayat kanak-kanak itu dikenal pasti berdasarkan pengecaman oleh pasangan itu yang menemui dua parut di belakang kepala dan satu di dahi kanak-kanak berkenaan yang mempunyai persamaan dengan William.

“Ibu bapa William turut mengesahkan seluar pendek dan seluar dalam mayat kanak-kanak itu kepunyaan anak mereka.

“Dan berdasarkan siasatan awal, polis mendapati mayat kanak-kanak yang dijumpai pada 6.30 petang semalam 75 peratus mirip William,” kata Yahaya kepada pemberita di sini hari ini.

Yahaya berkata laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang hari ini mendapati kanak-kanak yang dijumpai itu telah meninggal dunia kira-kira seminggu lepas, namun punca sebenar kematian belum dikenal pasti kerana keadaan mayat yang reput dan banyak organ dalaman yang rosak.

Beliau berkata pengesahan sama ada mayat kanak-kanak yang dijumpai itu adalah William akan diketahui selepas keputusan ujian DNA dikeluarkan dalam tempoh 72 jam.

Petang semalam, mayat seorang kanak-kanak berpakaian lengkap dijumpai tersangkut di jeti Kampung Sungai Sireh oleh seorang lelaki, sebelum dibawa ke HTAR untuk bedah siasat.

William, anak kedua pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, dilapor hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Yahaya berkata buat masa ini, polis belum mengenal pasti suspek terlibat dan siasatan sedang dijalankan.

“Kami belum ada maklumat konkrit lagi, cuma kami sudah merakam keterangan beberapa orang yang kami panggil untuk membantu siasatan,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: