Dr Azman Ibrahim
Lumayan sungguh pendapatannya hari ini, dari awal pagi sehingga hampir jam 4.30 petang, kira-kira 1,000 ringgit telah masuk ke poketnya.
Saya hanya memberi komentar ringkas dalam rangka mahu menguji sejauh mana minatnya untuk bercakap tentang himpunan yang bakal berlangsung keesokkannya, “Alhamdulillah… syukur atas rezeki kurniaan Allah.”
Pak Cik teksi itu bertanya lagi, “Agak-agak esok ada gas tak?” Juga jawapan ringkas saya berikan. “Entahlah Pak Cik, dengar khabarnya himpunan esok mendapat permit polis.”
“Ada permit pun, bukan boleh percaya sangat dengan polis ni! Esok dia buat perangai gila, habisss..” Bebelnya dengan nada penuh kekesalan atas perlakuan dan tindakan polis semasa himpunan-himpunan yang telah lepas.
“Himpunan Bersih yang terakhir baru ni, Pak Cik pun kena gas. Aduh! Pedih sekali…” Dengan nada bergurau saya menyampuk, “Pak Cik tahu dah kawasan tu ada demonstrasi, buat apa pergi bawak teksi kat situ?”
Sambutnya…“Ha…ha…ha… bukan Pak Cik pergi bawak teksi kat situ, Pak Cik pun hadir sekali himpunan tu, kena kejar polis, kena air kimia, kena gas…”
“Ha…ha…ha… Kalau begitu, kita senasiblah Pak Cik, saya pun kena kejar, kena gas sama macam Pak Cik jugak…” “Jadi… adik mari KL ni, nak hadir himpunan esoklah?” soal Pak Cik tu lagi. “Sudah semestinya!” jawab saya lagi. “Ha…ha…ha… kita serupa rupanya…” ketawa Pak Cik tu lagi.
“Itulah Pak Cik ni… Polis tak bagi pergi, Pak Cik degil! Pergi jugak… Kan dah boleh rasa ubat resdung.” Gurau saya lagi sehingga Pak Cik teksi itu terus ketawa besar.
Ketika sampai ke destinasi Pasar Seni dan bersalaman dengannya, sempat saya memaklumkan bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili PAS dalam pilihanraya, tangannya mengenggam erat tangan saya sambil berkata, “InsyaAllah kita kuburkan BN dalam pilihanraya akan datang!”
Jam 12.30 tengah hari, Sabtu 12 Januari 2013. Ketika pintu Stadium Merdeka mula dibuka, saya diantara peserta awal yang memasuki stadium, berjemur panas di tempat duduk terbuka ketika tempat duduk stadium hanya sekitar ¼ dipenuhi orang ramai.
Dalam ingatan, kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke dalam Stadium Merdeka sebelum ini adalah pada tahun 1992 ketika menuntut di Universiti Malaya. Sekadar untuk melepaskan tekanan belajar, dengan motosikal cabuk Honda Cup buruk, saya datang ke Stadium untuk menyaksikan satu perlawanan Liga Semi Pro ketika itu antara pasukan Brunei dan Tentera.
Kalau tak kerana himpunan HKR KL #112 ini, mungkin benar itulah kali pertama dan terakhir saya mengunjungi tempat di mana kemerdekaan negara diistiharkan oleh Tunku Abdul Rahman.
Duduk bersebelahan dengan seorang lelaki Cina yang rancak bercerita. “PAS sekalang ini bagus woo… talak macam dulu lagi. Tengok… itu Melayu, Cina, India semua boleh pakai baju PAS! Termasuk saya juga.” Ujarnya dengan sedikit nada bangga apabila memakai t-shirt bertulis ‘Pas Untuk Semua’.
“Dalam isu itu tuhan Allah… saya tengok itu Tok Guru sangat cerdik..” Komennya lagi mungkin mengulas isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.
“Saya pun agama kristian, tapi saya boleh terima itu penjelasan Tok Guru.” Sebagaimana biasa, saya suka menjadi pendengar setia dan cuba untuk menangkap butir-butir bernas yang boleh dijadikan bahan penulisan sambil berfikir bahawa mungkin dia telah meneliti kenyataan akhbar Tuan Guru Presiden dalam isu penggunaan kalimah Allah.
“Uncle agak penuh tak stadium ni hari ni?” soal saya untuk menyambung topik perbualan. “Mesti penuh sesak woo… you tengoklah sendiri nanti!” “Uncle asal dari mana?” saya ingin mengenalinya lebih lanjut sambil menghulurkan bisness kad saya kepadanya.
“Saya orang KL… Wah! You keleja doktor yaa..! manyak bagus…” “Itu olang-olang cerdik tarak mau sokong BN lagi!” “Ya lah uncle… saya dah sokong PAS semenjak dalam perut mak saya lagi.” Gurau saya. “Oooo… itu macam kaaa?” “Ha… ha… ha…!” kami sama-sama ketawa.
“Lepas pilihanraya nanti, kita kasi masuk itu BN dalam Museum.” Gurau apek itu lagi dengan penuh kemesraan sehingga kehangatan cuaca pada petang itu tak begitu terasa.
Melihat jam masih awal, stadium pun masih banyak kekosongan, saya mengajak uncle Cina tersebut keluar mencari minuman dahulu. Kebetulan yang terdekat ditemui hanyalah minuman dalam tin 100 plus.
“O.k uncle! Hari ni tak ada gas, mari kita minum air gas!” Ha… ha… ha… Apek tu ketawa besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan