Jumaat, 4 Januari 2013

Eh Najib, #BubarParlimen Sekarang!

 Oleh Izmil Amri

PERDANA Menteri, Najib Razak tidak perlu menunggu hingga ke akhir hayat mandat PRU-12 untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Kalau Najib Razak ini Perdana Menteri yang mendengar rintihan rakyat jelata; beliau pastinya sedar dan tahu bahawa rakyat sudah tidak sabar lagi mahu mengundi pada PRU-13. Penantian yang sedemikian lama ini sememangnya suatu penyeksaan yang amat berat untuk ditanggung.

Saya pasti ramai antara kita yang tertangguh banyak urusan kerana menanti berlangsungnya pilihan raya. Saya sendiri sudah muak menanti. Selagi belum pilihan raya, adalah amat rumit untuk saya menyusun jadual keluar berkencan dengan kekasih dan merancang hari bahagia kami. Itu pun dengan syarat, kekasih hati perlu dicari dulu.

Tapi tak apa. Cinta dan segala yang terkait dengan kehidupan peribadi boleh duduk di nombor corot. Yang penting mesti langsai dulu PRU-13 ini. Kemudian kita boleh cerita soal nikah kahwin.

Sejak mengambil alih tugas di Jabatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dengan selambanya menolak sebarang keperluan untuk memperlihatkan kemampuannya mendapatkan mandat daripada rakyat. Sungguh pun ada beberapa pilihan raya kecil yang berlangsung sebaik sahaja beliau mengambil alih kuasa, tetapi itu pastilah tidak cukup untuk meletakkan beliau sebagai manusia yang berhak menjadi Perdana Menteri; dikeranakan tiadanya mandat rakyat terbanyak melalui proses pilihan raya di peringkat nasional.

Najib Razak sekadar menjadi Perdana Menteri melalui jalan warisan, tanpa dipilih rakyat. Inilah dia demokrasi ala United Malays National Organisation. Demokrasi yang meletakkan pucuk pimpinan sebagai dewa-dewi yang tidak boleh dipersoal atau dibantah; apatah lagi untuk disuruh menguji kemampuan politiknya di lapangan pilihan raya.

Tetapi ini bukan kisah datuk hartawan yang meninggal dunia dan mewariskan harta kekayaan berbilion kepada anak cucu. Pak Lah juga masih ada, sihat walafiat duduk di kerusi Parlimen Kepala Batas, ekor matanya sentiasa memerhati gelagat penggantinya. Dan barangkali sekali dua beliau melirik kepada Timbalan Perdana Menteri dan berfikir sejenak, kalau-kalau beliau sudah tersalah membuat pilihan.

Adalah salah untuk kita bertanya ‘apa sebenarnya yang ditunggu si Najib ini?’

Najib Razak sebenarnya tidak menunggu apa-apa. Seandainya beliau punya sekelumit keyakinan kepada diri dan kekuatan politik UMNO-Barisan Nasional; tahun lepas lagi sudah dibubarnya Parlimen. Tetapi Najib Razak tidak punya kekuatan sedemikian. Najib Razak tidak akan bubar Parlimen sebelum tamat usia mandatnya secara semula jadi. Dan pada ketika Izrail sedang menarik nyawa sehingga takat tekak di jasad yang menjadi kerjaya politik Najib Razak itulah, baru beliau akan terkinja-kinja mahu membubarkan Parlimen.

Secara mudah, Najib tidak jantan. Kokoknya sahaja kuat, diajak bersabung; lari.

Bacaan yang sebegini membuatkan kita berkonklusi bahawa Najib tidak layak menjadi pemimpin nombor satu negara. Pemimpin jenis apa yang tidak punya keberanian mahupun keyakinan diri untuk mendapatkan mandat rakyat sebaik sahaja menggantikan jawatan Perdana Menteri? Apalah diharap pada bibirnya yang mungil, jika yang manis hanya kata-kata namun beraninya tiada dan bebolanya belum tentu ada dua.



Adalah juga tidak tepat untuk bersangka buruk dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; kononnya Parlimen hanya akan dibubarkan setelah FLOM itu sudah puas membeli belah. Ini nakal dan sangat tidak tepat. Beliau masih lagi boleh membeli belah sebagai isteri Ketua Pembangkang. Cumanya mungkin shoppingnya itu sekadar di Uptown. Itu pun kalau Najib Razak kekal di kerusi Pekan.

Tinggal beberapa hari saja lagi menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat; dan saya tidak pasti jika ada mana-mana pihak yang menuntut supaya Parlimen dibubarkan agar pilihan raya umum dapat diadakan secepat mungkin. Justeru saya menyeru pihak terbabit untuk sama-sama menuntut supaya Najib Razak membubarkan Parlimen secepat mungkin tanpa berlengah-lengah lagi.

Sudah terlalu lama sebenarnya kita membiarkan seorang Perdana Menteri berkuasa tanpa mandat rakyat jelata. Sudah terlalu lama juga kita rakyat Malaysia menunggu untuk membetulkan keputusan Mac 2008 yang sepatutnya sudah memperlihatkan kemusnahan Barisan Nasional sehingga tidak meninggalkan sebarang kesan.

Rakyat pastinya sudah tidak sabar lagi mahu menghumban Barisan Nasional ke jurang paling gelap dalam sejarah Malaysia untuk dilupakan dan tidak lagi diceritakan kepada anak cucu kecuali untuk menakut-nakutkan mereka supaya tidak merayau-rayau di waktu senja.

‘Hafiz… apa lagi dibuat kat luar tu? Balik, hari dah gelap. Kau duduklah lama-lama kat situ.. Nanti datang orang UMNO makan kau!’

Atau pun sekadar digunakan sebagai gantian kata caci maki.

Sebagai contoh; ‘Celaka punya jantan. Siang malam kebas duit aku. Macam UMNO!’

Jadi inilah dia tuntutan kita kepada Perdana Menteri Najib Razak: Sila bubarkan Parlimen sekarang! Tak perlulah berlengah-lengah lagi. Tak perlulah ditunggu sampai bintang berbaris selari baru mahu dibubar Parlimen itu. Lagipun beliau sudah berkali-kali mengacah mahu pergi mengadap Yang DiPertuan Agong dengan tujuan membubarkan Parlimen. Maka apalah yang ditunggu lagi.

Bubarlah sekarang! Bubarlah kalau berani! – Roketkini.com

Tiada ulasan: