Jumaat, 25 Januari 2013

Banyak lagi penipuan, pembohongan UMNO/BN untuk menang PRU-13 – Kit Siang

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan tidak mengalihkan perhatian daripada isu penting reformasi dan pembaharuan nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana UMNO/BN pasti akan menghidangkan lebih banyak lagi penipuan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pasti akan dihujani pelbagai penipuan dan pembohongan pemimpin UMNO/BN, propagandis dan media perdana mereka tanpa sedikit pun rasa penyesalan atau keinsafan.

“Mereka tanpa rasa hormat terhadap kesengsaraan dan kesedihan keluarga dengan apa yang terjadi pada Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Sibu, Wong Ho Leng, isterinya, Irene Change dan lima anak mereka.

“Tindakan itu benar-benar keji dan hina kerana Irene tidak pernah diwawancara merungut mengenai parti dan pemimpin, namun kenyataan palsu itu diterbitkan kononnya mereka menyelar parti dan pemimpin sebagai tidak berhati perut mengenai rawatan “tumor otak” Ho Leng.

“Malah mereka juga menyatakan yang Ho Leng mengumpul RM10 juta untuk belanja pilihan raya tetapi hanya RM4 juta yang dibelanjakan sementara selebihnya RM6 juta dirampas DAP Sarawak dan Ibu Pejabat DAP.

“Ho Leng juga menyatakan laporan itu palsu dan rekaan semata-mata mengenai Irene, “tiada satu ayat pun yang benar”, dakwaan RM10 juta juga tidak munasabah dan DAP membelanjakan RM1.3 juta untuk menghasilkan video klip Gangnam baru-baru ini juga tidak betul,” katanya Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dalam kenyataan media mengenai pengiraan detik 78 hari ke PRU-13, semalam.

Beliau berkata, UMNO/BN akan menghidangkan “penipuan, penipuan dan banyak lagi penipuan” menjelang PRU-13 nanti, sebab itu rakyat Malaysia, termasuk pemimpin, ahli dan penyokong DAP dan Pakatan Rakyat, diminta tidak mengalihkan perhatian daripada isu penting itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sukar menangguh lagi pilihan raya itu.

Menurutnya, antara isu penting ialah agenda menghapuskan rasuah dan mengakhiri pengaliran keluar modal haram; selain menjadikan Malaysia selamat daripada jenayah dan memulihkan kebimbangan rakyat pelancong dan pelabur.

“Selain profesionalisme institusi nasional utama; merombak sistem pendidikan untuk menjadikan Malaysia berdaya saing, makmur dan progresif; serta memupuk perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau tempat untuk menjadikan Malaysia model antarabangsa masyarakat berbilang kaum dan agama sebuah negara demokrasi berjaya.

“Pemimpin UMNO/BN akan menggunakan penipuan dalam kempen pilihan raya umum nanti kerana terdesak dan merasakan mereka mungkin dikeluarkan daripada terus menguasai Putrajaya setelah 55 tahun memerintah.

“Itu sebabnya pemimpin dan propagandis UMNO/BN semakin galak dengan politik kebencian dan konflik, mengapi-apikan perpecahan kaum dan agama walaupun perbuatan itu bercanggah dengan dasar 1Malaysia Najib yang mahukan rakyat Malaysia menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu kemudian barulah kaum, agama, status sosio-ekonomi dan tempat,” katanya.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mempertikaikan kelayakan kewarganegaraan satu juta bukan Melayu yang diberi kewarganegaraan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman sebagai sebahagian daripada Persetujuan Merdeka dan “kontrak sosial” sebelum Merdeka pada 1957.

“UMNO/BN mahu rakyat Malaysia terus bertelingkah mengenai masa lalu, sebaliknya, Pakatan Rakyat mahu rakyat bersatu untuk membina masa depan yang toleran, makmur dan progresif  supaya mereka boleh berdiri sama tinggi dengan masyarakat antarabangsa.

“Rakyat Malaysia sepatutnya maju ke hadapan dengan impian dan harapan baru, tidak membiarkan diri terikat dengan belenggu politik penipuan dan pembohongan juga politik keraguan antara kaum dan permusuhan agama,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: