Isnin, 21 Januari 2013

Banjir: 24 Penuntut Malaysia Pulang, 38 Masih Di Dewan Malaysia Jakarta

MSTAR ONLINE
 
JAKARTA: Seramai 24 daripada 62 penuntut Malaysia yang ditempatkan sementara di Dewan Malaysia di Jakarta Pusat berikutan kejadian banjir di Jakarta, dibenar pulang ke rumah masing-masing di kawasan Tomang dan Roxy di Jakarta Barat apabila keadaan di kawasan penempatan mereka pulih seperti biasa.

Pengarah Education Malaysia (EM) Indonesia Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata pihaknya telah memeriksa kawasan penempatan penuntut itu di Tomang dan Roxy pagi ini dan bersetuju dengan pemintaan mereka untuk pulang.

"Jika tempat mereka banjir kembali, mereka masih boleh kembali ke Dewan Malaysia untuk menginap sementara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Juzhar berkata rumah-rumah penuntut dari Universiti Trisakti itu sebenarnya tidak terjejas dengan banjir, namun jalan-jalan akses ke rumah mereka yang dinaiki air dan disebabkan masalah itu mereka dipindahkan ke Dewan Malaysia.

Mengenai 38 penuntut Malaysia yang masih menginap di Dewan Malaysia Jakarta, mereka hanya akan dibenar pulang jika keadaan banjir di kawasan penempatan masing-masing dipastikan telah pulih.

Juzhar berkata Universiti Trisakti, di Jakarta Barat, yang turut dilanda banjir, mengisytihar cuti selama seminggu dan kuliah akan hanya disambung pada 28 Jan.

Kejadian banjir di Jakarta, sejak Selasa, sehingga ini meragut 19 nyawa dan sebahagian daripada mereka meninggal dunia disebabkan kejutan elektrik apabila kediaman mereka dinaiki air.

Tiada ulasan: