Menjawab soalan hadirin program Bicara Minda Tun Dr Mahathir di bawah tajuk "Masa Depan Melayu & Islam Selepas PRU13", bekas Perdana Menteri berkata:
"Ramai anak-anak orang Umno yang tak nak lagi bercakap berkenaan orang Melayu. Takutnya dituduh rasis."
Dalam pada itu, beliau berpendapat bahawa bangsa Melayu mempunyai satu sifat ‘malu’ yang mungkin kurang pada bangsa lain.
“Orang Melayu ini ada satu sifat yang mungkin tidak banyak terdapat di kalangan orang (bangsa) lain... malu.
“Bila kita malu, kita kalah. Kita nak senang. Kita tak jawab apabila dituduh bukan-bukan... tak mahu dituduh rasis,” kata bekas Presiden Umno yang mengetuai parti itu dan kerajaan selama 22 tahun sebelum bersara pada Oktober 2003.
Dr Mahathir, yang pernah menghasilkan buku Dilema Melayu, juga telah beberapa kali menegaskan beliau bukan seorang rasis kerana ada yang berpandangan negarawan ini hanya bercakap mengenai kepentingan Melayu kebelakangan ini.
Menyentuh tentang perasaan malu itu, Dr Mahathir menyifatkan perasaan itu sudah merosot dalam kalangan orang Melayu.
“Sedikit sebanyak kita mesti ada perasaan malu apabila buat sesuatu yang salah atau kurang berjaya. Saya yakin kita akan berjaya.
“Tetapi saya dapati sekarang kini, perasaan malu dalam kalangan orang Melayu sudah merosot. Tak malu lagi... ini akan menghancurkan kita,” katanya.
Terdahulu dalam syarahannya, Dr Mahathir ada menyebut soal tuntutan hak orang Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Apabila kita sebut tentang hak, kita dicap sebagai rasis. Menjadi hak kita menuntut bahagian kita... bahagian orang Melayu dalam negara berbilang kaum ini.
“Kita tak minta lebih... dalam DEB kita tuntut 30 peratus saja. Itu pun tak capai lagi,” katanya.
Dr Mahathir juga tidak menolak bahawa identiti Melayu akan hilang jika kita tidak berjaga-jaga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan