Khamis, 24 Januari 2013

ADUN dakwa Umno guna PBT untuk dapat tanah murah

 


 
Kerajaan negeri Selangor hari ini mendedahkan satu lagi dakwaan skandal tanah murah melibatkan Umno, dengan dakwaan bahawa parti berkenaan menggunakan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk mempercepatkan kelulusan tanah.

Pengerusi satu jawatankuasa kerajaan negeri berhubung tanah dan pejabat daerah Ng Suee Lim mendakwa Umno bahagian Kota Raja dan MBSA membuat permohonan bersama untuk tanah seluas tujuh ekar itu pada 2006,  kononnya untuk membina kompleks sukan dan rekreasi serta pusat masyarakat.

Seramai 11 orang pemohon lagi merupakan pemaju persendirian yang didakwanya berhasrat untuk menggunakan tanah berkenaan bagi projek komersial dan kediaman.

Jawatankuasa Tanah Daerah Klang, yang bertanggungjawab ke atas tanah berkenaan di Seksyen 25, Shah Alam, mengesyorkan agar empat ekar diberikan kepada MBSA dan tiga lagi kepada Umno bahagian pada harga pasaran, dakwa Ng.

Bagaimanapun, pengagihan milikan itu dipinda apabila majlis kerajaan negeri yang dipengerusikan menteri besar pada masa itu Dr Mohd Khir Toyo, bertemu untuk meluluskan permohonan tanah berkenaan, dakwanya.

Dakwanya, Umno kemudiannya mendapat empat ekar dan MBSA tiga ekar.

Ng juga mendakwa bahawa Umno Kota Raja hanya perlu membayar premium tanah serendah RM1,000, walaupun tanah di kawasan tersebut dianggarkan bernilai RM700,000 seekar.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran merancang tanah itu kemudiannya menyatakan cadangan pembinaan apartmen dan lot kedai, serta dewan kecil untuk MBSA, dakwanya.

Lim yang juga ADUN Sekinchan, mendakwa ini merupakan kes paling "hangat" yang dibangkitkannya setakat ini kerana ia menunjukkan bahawa Umno menggunakan pihak berkuasa tempatan untuk kepentingan parti.

Tiada ulasan: