Khamis, 24 Mei 2012

Zuraida : NFC Cuba Alihkan Perhatian Dengan Menyaman Bank





SHAH ALAMI: Tindakan National Fidlot Corporation (NFC) memfailkan saman terhadap Public Bank dilihat sebagai cubaan untuk mengelakkan diri daripada menjawab isu penyelewengan bernilai RM250 juta yang didedahkan sebelum ini.

Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara pokok yang perlu diatasi adalah penyelewengan yang dilakukan NFC yang sehingga kini masih belum dijawab.

“Itu hak NFC untuk mengemukakan saman kepada Public Bank dan sebagainya. Tetapi perkara pokok ialah NFC sendiri telah menyeleweng.

“Itu perkara pokok yang perlu ditangani oleh kerajaan. Kita atasi itu dahulu kemudian tepulang kepada tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Jelas beliau, NFC tidak dapat lari daripada hakikat bahawa mereka telah menyeleweng amanah rakyat yang bernilai jutaan ringgit.

NFC semalam memfailkan saman kepada Public Bank di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia).

Public Bank didakwa bersikap cuai dan mengakibatkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memperoleh maklumat berhubung syarikat berkenaan.

Zuraida menambah, dalam zaman serba canggih ini semua maklumat boleh dikeluarkan melalui pelbagai cara dan pihak Public Bank sendiri tidak mengetahui siapakah kakitangan mereka yang terlibat.

Sebelum ini, seorang bekas kerani Public Bank cawangan Jinjang, Johari Mohammad menerima sepucuk surat daripada pihak Public Bank kerana didakwa melanggar tatacara disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail.

Johari yang telah melalui proses perbicaraan disiplin di Public Bank turut disiasat dibawah peruntukkan sama oleh Bank Negara.

Tiada ulasan: