Ahad, 27 Mei 2012

Terbukti Umno cetus kejadian berdarah




Abdul Aziz Mustafa,    


KUALA LUMPUR: Bukan Pakatan Rakyat (PR), tetapi terbukti Umno yang mencetuskan begitu banyak kejadian berdarah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Ketika menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa demonstrasi ganas akan dianjurkan tanpa henti jika jika PR tewas dalam pilihan raya umum ke-13, beliau berkata fakta sejarah dengan sendirinya akan mendorong rakyat menolak dakwaan itu.

"Memanglah, saya tak marah langsung dengan apa yang Dr Mahathir kata. Biarlah, dalam negara demokrasi, dia pun ada hak untuk bercakap juga walaupun orang waras tergelak sakan dengan kata-katanya.

"Apa yang penting ialah kita mesti terus mengajak rakyat melihat fakta sejarah yang sebenarnya, walaupun apa pun yang dikatakan oleh siapa pun," katanya.

Mohamad yakin, dalam zaman penyebaran maklumat yang serba pantas dan meluas ini, seseorang yang bercakap tidak berdasarkan apa yang sebenarnya berlaku terdedah kepada pelbagai tuduhan.

"Tidak banyak yang boleh kita buat untuk melarang rakyat yang sakit hati menuduh Dr Mahathir buta, nyanyuk atau gila akibat kenyataannya itu," kata beliau sambil menyatakan simpati kepada bekas Presiden Umno yang kelihatan begitu takut untuk menghadapi perubahan itu.

Beliau juga berharap Dr Mahathir tidak lagi mengulangi kenyataan sedemikian kerana beliau "tidak seronok kalau tokoh yang paling lama menjadi Perdana Menteri itu dituduh dengan pelbagai kata nista".

"Satu dunia tahu bahawa yang tidak henti-henti diserang dengan ganas ialah ceramah-ceramah dan perhimpunan-perhimpunan PR dan juga perhimpunan rakyat yang lain yang menolak Umno dan BN (Barisan Nasional).

"Malah, bukan majlis dan perhimpunan sahaja yang diserang dan diganggu sehingga berkali-kali berlaku kejadian berdarah, rumah kediaman pun mereka serang.

"Rumah saya diserang dan dibakar, rumah (Pengerusi Bersama Bersi, Datuk S) Ambiga mereka pergi tungging punggung dan lakukan pelbagai gangguan," katanya.

Tiada ulasan: