Oleh Mazir Ibrahim
DAP hanyalah sebuah parti politik. Ideologinya adalah demokrasi sosial. Siapa ingin tahu lebih lanjut apa itu demokrasi sosial, silalah layari lama roketkini.com atau buat carian google, jangan malas macam balaci-balaci UMNO.
Pada tahun-tahun mendatang juga DAP akan tetap menjadi sebuah parti politik kebangsaan. DAP tak mungkin menjadi sebuah agama baru, tak akan menjadi satu kabilah baru dan tentunya tidak akan menjadi satu lagi UMNO yang menjadikan rasuah sebagai institusi dan amalan bagi partinya.
Dalam lambungan ombak fitnah, Roketkini lahir di tengah-tengahnya. Fitnah-fitnah ini sedang cuba untuk membaham pemikiran rakyat Malaysia, khususnya manusia berketurunan Melayu, terhadap parti politik yang bernama DAP.
Ada apa dalam DAP
Dakwaan pecacai UMNO bahawa Roketkini sebagai ejen dalam mempengaruhi pemikiran orang Melayu untuk menyokong perjuangan DAP untuk demokrasi, hak asasi, keadilan dan peluang saksama adalah benar belaka. Itu bukan fitnah.
Kita mengaku bahawa memang kita sedang mempengaruhi pemikiran Melayu, India, Cina, Iban, Kelabit, Kayan, Penan, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Sungai, Orang Asli dan selagi ada kaum yang lain sebagai warganegara Malaysia untuk menyokong perjuangan DAP dan Pakatan Rakyat umumnya.
Justeru, apa salahnya?
Roketkini mengajak semua rakyat Malaysia untuk memahami DAP, membawa rakyat Malaysia untuk mengenali apa yang diperjuangkan oleh DAP sejak 1967.
Roketkini memang mahu rakyat Malaysia, baik yang Muslim, Kristian, Hindu, Buddha dan semua agama yang ada untuk sedar bahawa DAP dan Pakatan Rakyat sedang memperjuangkan suatu nilai yang baik untuk seluruh rakyat Malaysia.
Kita tidak memperjuang dan mempertahankan perasuah; jika ada, buktikan di mahkamah. Kita tidak akan pertahankan kezaliman; jika wujud silalah dakwa. Kita tidak pernah mempromosikan negara Kristian hatta amalan seks bebas, jika terjadi begitu, rakyat sendiri akan menolak DAP.
UMNO tak payah susah-susah. Rakyat tahu apa yang baik dan buruk. Tanpa perlu dengar fitnah pecacai UMNO.
Apa yang kita lakukan
Kita juga tidak pernah mengajak manusia untuk melakukan keganasan untuk mencapai maksud politik. Jika ada, sila tanya pemimpin UMNO.
Roketkini yang kecil ini hanya ingin mempromosikan satu tingkat kefahaman yang betul kepada rakyat Malaysia, khususnya mengenai DAP. Kita mahu warga Malaysia tahu bahawa apa yang dikatakan oleh UMNO dan BN selama ini adalah salah, yakni tidak benar.
Tetapi apa-apa yang benar memang kita akui. Contohnya, majoriti ahli DAP adalah dari kaum Cina, itu betul. Memang benar ramai orang Cina dalam DAP beragama Buddha dan Kristian serta pelbagai kepercayaan lain. Kebanyakan orang Cina dalam DAP tak sehebat Najib Razak berbahasa Melayu, itu juga juga tak dinafikan sama sekali.
Namun, adakah kerana itu semua maka DAP hanya layak mendapat jolokan hina dan jahat dari pemimpin UMNO? Adakah kerana itu semua maka orang UMNO berhak mengatakan bahawa DAP adalah musuh Melayu dan anti-Islam? Inikah budaya Melayu yang UMNO bawakan, inikah ajaran Islam yang UMNo ajarkan?
Politik gelap ini harus diubah. Inilah peranan Roketkini.
Apa yang kita perjuangkan
Kita hanya mempromosikan idea dan dasar politik DAP. Kita tidak menghina idea politik UMNO atau BN dari sudut perkauman dan agama. Kita tidak pernah memfitnah pemimpin UMNO walau pun fitnah dan kedangkalan politik mereka amat terserlah.
Kita mempromosikan prinsip dan dasar parti melalui hujah yang rasional dan dengan penuh hemah kemanusiaan. Kita percaya bahawa selain dari pemimpin UMNO yang bijaksana itu, ramai lagi ahli UMNO dan rakyat di luar yang masih berakal waras dan boleh menerima hujah rasional tanpa mempergunakan atau memperalat agama dan bangsa untuk mencapai maksud.
Kita juga percaya hujah patut dibalas hujah, bukan maki-hamun, bukan mencarut. Kita percaya hujah tidak sepatutnya dibalas dengan kawalan undang-undang, dengan mendirikan gerai burger haram untuk membantah, dengan menunjukkan punggung, dengan membaling telur atau batu.
Dalam DAP dan Roketkini, ada juga manusia Muslim, mereka ini makan makanan yang halal, tahu di mana kiblat, mendirikan solat mengikut hukum syarak. Namun seperti manusia biasa yang lain, tetap ada sedikit-sebanyak salah dan silap yang harapnya mendapat keampunan Allah SWT. Manusia-manusia dalam DAP bukanlah insan maqsum seperti mana ramai pemimpin Melayu Islam UMNO.
Maka, maafkanlah kami jika berlaku kesilapan dan kesalahan sepanjang Roketkini menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat Malaysia. Kami akan tetap berjuang demi kebaikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Setahun dahulu, Roketkini telah lahir. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan