Ahad, 6 Mei 2012

Ribuan sertai Himpunan Tanah Rakyat di Johor

Harakahdaily,



JOHOR BAHRU: Himpunan Tanah Rakyat (Tanah) yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru semalam berjaya menarik kehadiran ribuan rakyat khususnya dari negeri Johor dan juga dari seluruh negara.

Program yang bermula kira-kira jam 2 petang itu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi daripada mana-mana pihak.

Menurut Setiausaha Tanah, Suhaizan Bin Kaiat, himpunan semalam diadakan sebagai menyatakan solidariti dari penduduk negeri Johor yang banyak menghadapi masalah tanah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri Johor dibawah pimpinan Datuk Abdul Ghani Othman selaku Menteri Besar Johor.

"Kita menganjurkan himpunan hari ini untuk membantu rakyat negeri Johor terutamanya yang banyak dizalimi atas isu tanah. Mesej yang ingin disampaikan jelas bahawa kerajaan negeri Johor harus segera menyelesaikan tuntutan yang diminta oleh Tanah untuk dilaksanakan.

"Kehadiran ribuan rakyat hari ini menghantar mesej yang cukup jelas kepada Menteri Besar Johor agar menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk negeri ini. Kita bawakan mangsa-mangsa yang dizalimi untuk mereka memberi mesej kepada kerajaan negeri agar mendengar rintihan mereka," katanya semasa berucap memulakan himpunan tersebut semalam.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dalam ucapannya turut memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan membantu penduduk negeri ini menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi.

"Saya dan pimpinan Pakatan Rakyat berjanji kepada penduduk negeri Johor bahawa kami akan membantu penduduk negeri ini menyelesaikan masalah tanah yang mereka hadapi.

"Kami akan turun selepas ini ke segenap penjuru negeri Johor untuk mendengar rintihan rakyat seterusnya membantu rakyat menyelesaikan masalah rakyat berkenaan isu tanah ini," tegas beliau.
mencabar pimpinan Umno BN agar bersemuka dengan beliau di negeri Johor secara anak jantan.

Terdahulu, himpunan Tanah semalam turut membuat 10 tuntutan untuk diserahkan kepada Menteri Besar Johor.

Tuntutan itu antara lain mahu kerajaan Johor menuntut semula Pulau Batu Puteh, siasat penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar, hentikan pengurniaan tanah KPRJ/kroni, rampas tanah penyeleweng serta selamatkan tanah rizab Melayu.

Selain itu mereka juga mahu kerajaan negeri mewartakan tanah rizab orang asal, memastikan ketelusan pengurniaan tanah, pemilik tanah miliki ekuiti projek mega, selesaikan projek rumah terbengkalai dan hentikan manipulasi dan kurangkan birokrasi.

Tiada ulasan: