DETIK DAILY |
PRU13 merupakan masa sesuai untuk rakyat menolak Umno-BN kerana pelbagai kepincangan telah berlaku tanpa pembaikan daripada pihak kerajaan. Ikuti pandangan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusuff, yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang
WARTAWN: Pada pandangan YB, adakah PRU13 jadi peluang terbaik seluruh rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran dalam pemerintahan menyingkirkan pentadbiran BN?
SITI ZAILAH: Seluruh rakyat di negara ini sebenarnya sedang menunggu-nunggu tarikh pembubaran Parlimen. Tidak ada sesiapa yang dapat memastikan dengan tepat bila PRU13 akan diadakan.
Kenapa rakyat begitu tidak sabar menunggu PRU13? Ini kerana rakyat sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku hari ini. Skandal yang melibatkan pemimpin BN semakin bertambah. Begitu juga isu rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan yang telah mencengkam hati rakyat.
Jadi PRU13 ini adalah masa yang paling baik untuk rakyat Malaysia membuat perubahan.
Kita inginkan sebuah kerajaan yang bersih dan adil yang benarbenar meletak kepentingan rakyat yang menjadi keutamaan semua aspek pentadbiran.
Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang penuh dengan skandal serta dibebani hutang yang bertimbun-timbun serta berdepan dengan pelbagai krisis.
Ini kerana sekarang ini kita berdepan dengan krisis ekonomi dengan kenaikan harga barang.
Begitu juga dengan kebanjiran pendatang asing dan masalah keruntuhan moral yang tidak mempunyai jalan penyelesaian.
Saya amat berharap rakyat Malaysia mengambil kesempatan ini apatah lagi kita melihat kejayaan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat yang bukan sahaja mendapat pujian rakyat bawahan.
Pemerintahan Pakatan Rakyat diiktiraf baik?
Laporan audit juga menunjukkan pentadbiran Pakatan Rakyat mampu membayar balik hutang-hutang yang ditinggalkan pemerintahan BN. Jadi, tidak boleh lagi BN menyatakan hanya Umno-BN yang boleh memerintah.
Ini adalah kenyataan yang boleh disangkal seratus peratus. Ini kerana kita melihat bagaimana negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat dapat mentadbir negeri ke arah lebih baik.
Jadi saya amat berharap rakyat dapat berfikir lebih matang dan jangan terpengaruh dengan habuan wang yang diberikan BN. Kita mesti melihat politik atau pilihan raya itu bukan semata-mata untuk mendapatkan wang.
Tetapi politik negara ini harus dilihat jauh ke hadapan sama ada 20 tahun akan datang jika negara dipimpin pemimpin yang rasuah dan terlibat dengan pelbagai skandal dan dengan tidak berteraskan keadilan, masa depan anak cucu akan tergadai.
Apakah masyarakat luar bandar juga sensitif dengan segala kebobrokan yang dilakukan Umno-BN ini?
Pada zaman maklumat tanpa sempadan ini, ia tidak hanya terhad di kawasan bandar.
Bahkan masyarakat luar bandar kini juga sudah terdedah dengan media baru.
Jika mereka tidak mendapat sendiri maklumat tersebut dan tidak mahir dalam penggunaan media baru, mungkin ada maklumat yang disampaikan oleh anak-anak mereka yang menyebabkan minda mereka semakin terbuka dan mereka sudah boleh menerima penjelasan yang disampaikan.
Orang kampung sekarang juga telah merasai betapa peritnya kehidupan mereka di bawah pentadbiran BN.
Mereka dibebankan dengan harga barangan yang melambung, keselamatan keluarga juga tidak lagi terjamin dengan jenayah yang semakin berleluasa. Penculikan dan pembunuhan berlaku di sana sini.
Media yang paling mudah menyalurkan berita mengenai isu-isu tersebut iaitu televisyen dan surat khabar. Perkara seperti ini juga sebenarnya membuatkan masyarakat luar bandar sudah pandai menilai kerana ia juga berkaitan dengan pemerintahan dalam negara.
Kos hidup yang semakin meningkat di samping terpaksa membayar kos pendidikan anakanak termasuklah anak-anak yang telah tamat pengajian di IPT tetapi ibu bapa juga yang terpaksa tanggung bebanan hutang pinjaman tersebut.
Sudah 54 tahun BN memerintah, banyak perkara yang dilakukan menggambarkan pengkhianatan terhadap negara seperti menghina raja, memperlekeh Islam dan menggodam orang Melayu...
Ya, 54 tahun memerintah Umno-BN menyatakan akan mempertahankan kedaulatan rakyat, agama dan raja.
Sebenarnya di kalangan Pakatan Rakyat tidak ada yang ingin menjatuhkan raja sebaliknya kita bersama-sama ingin membela raja, bangsa dan agama.
Apabila berlaku kebanjiran pendatang tanpa izin, banyak kes kita dapati mereka mendapat MyKad dan didaftarkan sebagai pemilih. Sebenarnya inilah perbuatan khianat yang menjejaskan bangsa dan masa depan negara.
Apabila negara dikuasai pendatang asing, mereka tidak akan menghormati negara kita kerana mereka tidak mengetahui apakah itu penghormatan serta kedaulatan raja.
Apa yang dilakukan BN hari ini dengan memasukkan pengundi asing yang diberikan MyKad, ini secara terangan mengkhianati bangsa, agama dan negara. Sebagai contoh jika betul menghormati hak rakyat, kenapa tidak diberikan hak royalti kepada rakyat Kelantan?
Sehinggakan terpaksa dibawa ke pengadilan dan rakyat Kelantan terpaksa berhujah untuk mendapatkan hak mereka yang memang sudah termaktub dalam akta yang telah digazetkan. Adakah ini dikatakan membela hak Melayu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan