Ahad, 6 Mei 2012

Pintu belum tertutup untuk Azmin pulang

Wartawan Sinar Harian

Pintu belum tertutup untuk Azmin pulang
 
Che Tom Yahaya bersama anaknya Umi Hafilda. – Foto ihsan mynewshub.my
 
 
KUALA LUMPUR - Pintu rumah Che Tom Yahaya di Kampung Klang Gate Baru, Setapak, di sini belum tertutup buat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Che Tom, 78, berkata, dia masih mengharapkan anaknya itu pulang semula ke pangkuan keluarga, untuk menautkan kembali hubungan yang sudah terjurang antara Azmin dengan adiknya, Umi Hafilda.

“Saya dan abahnya (Allahyarham Ali Omar) sudah berikan dia didikan yang cukup, ilmu akhirat, adat resam, budi bahasa.

“Sebagai ibu, saya sayangkan dia dan harap dia berubah," katanya dalam rakaman temu bual disiarkan Buletin Utama TV3 malam tadi.

Dalam nada sebak tetapi tegas menerusi slot kira-kira tiga minit itu, Che Tom berkata, ada dua perkara yang perlu dilakukan Azmin untuk kembali semula ke pangkuannya.

“Yang pertama, dia perlu bertaubat kepada ALLAH. Kedua, tinggalkan kumpulan itu (PKR). Ramai kawan-kawan dia yang sudah tinggalkan (PKR)," katanya.

Menurutnya, dengan didikan yang sempurna, dia sama sekali tidak menyangka Azmin boleh berubah sikap setelah dewasa dan mempunyai kedudukan.

Che Tom mengakui, hatinya luluh mengenangkan tindak-tanduk Azmin yang seperti sudah berpatah arang dengan keluarga.

Difahamkan, kali terakhir Azmin pulang ke rumah itu pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Namun pada hari yang sama juga, dikatakan telah berlaku pertelingkahan serius Ahli Parlimen Gombak itu dengan Umi Hafilda.

Sejak itu, Azmin dikatakan tidak pernah lagi menjenguk ibunya.

Bagi Che Tom, jika semasa hidup ini pun anaknya itu tidak menziarah, tiada apa lagi yang boleh diharapkan setelah dia (Che Tom) tidak ada lagi di dunia ini.

“Saya tak boleh harap dia pulang menziarah lagi selepas ini, jika sekarang pun dia tak mahu balik menjenguk ibunya,” kata wanita itu dengan nada sayu.

Tiada ulasan: