Keputusan itu dibuat disebabkan keengganan
ketua menteri itu untuk mengadakan perjumpaan setelah pelbagai usaha ke
arah itu telah dibuat.
GEORGE TOWN: Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin menjelaskan semua demonstrasi yang dianjurkan Perkasa negeri sebelum ini adalah bertujuan untuk bertemu dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata demonstrasi yang dijalankan bukanlah berniat untuk mengugut mahupun mengganggu ketenteraman Lim dan anggota keluarganya, tetapi hanya untuk mendapatkan perhatian ketua menteri itu supaya mengadakan pertemuan dan memberi penjelasan terhadap tujuh permintaan Perkasa.
“Demo ini saya adakan sebenarnya Guan Eng sendiri yang memaksa saya untuk buat demo ini. Di mana hari ini kalau kita tengok tujuh permintaan Perkasa, dua tahun lebih dia tak jawab dan buat tak tahu kepada kami.
“Jadi dia harus berdepan dengan permasalahan…langsung dia tak ambil kisah tentang nasib rakyat negeri Pulau Pinang dan Perkasa sendiri. Kami berjuang untuk rakyat, kami bukan berjuang untuk peribadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas mengenai tindakan Perkasa mengadakan demonstrasi di kediaman Lim pada Khamis lepas, Mohd Rizuad berkata keputusan itu dibuat disebabkan keengganan ketua menteri itu untuk mengadakan perjumpaan setelah pelbagai usaha ke arah itu telah dibuat.
Demonstrasi aman
Beliau memberi jaminan demonstrasi yang diadakan adalah secara aman dan tidak akan mendatangkan keburukan kepada orang awam mahupun keluarga Lim kerana ia hanya bertujuan untuk memperjuangkan nasib rakyat di Pulau Pinang.
Mengenai tindakannya menggantung gambar Lim dengan kalungan bunga di hadapan pagar rumah pemimpin itu, Mohd Rizuad berkata tindakan itu bukanlah bertujuan untuk menghina agama lain tetapi ia hanyalah simbolik menolak pemerintahan Lim di negeri ini.
Justeru itu, beliau menegaskan semua tindakan Perkasa terhadap Lim sebelum ini bukanlah sesuatu yang keterlaluan jika dibandingkan dengan perhimpunan Bersih 3.0 kerana sepanjang demonstrasi berlangsung Perkasa tidak pernah merosakkan harta benda awam mahupun mendatangkan kesusahan kepada orang awam.
“Tindakan ini hanyalah semata-mata untuk menyuarakan keluhan rakyat Pulau Pinang yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Lim sebagai ketua menteri di negeri ini dan tindakan ini juga tidak didorong oleh mana-mana parti politik,” katanya.
Mohd Rizuad berkata Perkasa tidak akan berhenti untuk memperjuangkan nasib rakyat Pulau Pinang dan akan terus mengadakan demonstrasi sehingga ketua menteri itu bersetuju untuk mengadakan perjumpaan secara profesional dengan mereka.Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan